Apabila seseorang itu memohon jawatan tertentu beliau adalah tertakluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan, antaranya kelayakan ilmiah, pengalaman dan kemahiran. Kelayakan yang ditetapkan itu selalu difikiran sesuai dengan tahap dan taraf jawatan yang dipohon. Begitu juga dengan gaji yang ditawarkan.
Contohnya untuk jawatan ketua pegawai eksekutif sesebuah syarikat, biasanya kelayakan minimanya ialah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) disamping mempunyai pengalaman dan kemahiran tertentu. Disamping ijazah sarjana itu, beliau diperlukan mempunyai ijazah sarjana muda (atau ijazah pertama) dan sijil-sijil pendidikan pada tahap formal dan sebagainya.
Seseorang yang memiliki kelayakan yang ditetapkan ini selalunya dilihat sebagai sudah sedia memikul tanggungjawab, amanah serta tugas yang menanti. Justeru, kapasiti minda yang sesuai adalah diperlukan untuk segala tahap jawatan yang ditawarkan. Sekiranya tidak maka beliau tidak akan memohon jawatan berkenaan. Pemohon telahpun menepuk dada menanya selera terlebih dahulu.
Apabila strata jawatan itu tinggi dalam rangkaian makanan itu maka kelayakannya juga adalah tinggi, pada amalan biasa ianya setimpal dan selaras. Begitu juga dengan jawatan-jawatan rendah yang juga tertakluk kepada beberapa syarat kelayakan termasuklah kelulusan ilmiah yang mungkin tidaklah setinggi jawatan ketua pegawai eksekutif atau pengurus.
Pada pendapat saya, jawatan-jawatan politik tidaklah terkecuali daripada kelayakan walaupun pada tahap minima sungguhpun kadangkala kelayakan ilmiah dikatakan tidak penting. Yang peliknya walaupun dikatakan tidak penting namun tahap pendidikan seseorang calon itu selalu menjadi pertimbangan dan ianya sentiasa menjadi sesuatu ketentuan. Tidaklah ramai mereka yang tidak berpendidikan tinggi boleh pergi jauh dalam politik dan ini adalah kenyataan.
Namun, dalam konteks Umno hari ini, kelayakan ilmiah bukanlah menjadi persoalan kerana yang didebatkan ialah kelayakan utama atau tiket untuk memasuki gelanggang politik Umno bagi bertanding jawatan-jawatan utama dalam parti.
Perlembagaan Umno menyatakan dengan jelas bahawa calon-calon jawatan pada peringkat Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri hendaklah memenuhi beberapa syarat sebelum layak bertanding.
KOUTA PERTANDINGAN
Antaranya ialah jumlah kouta pencalonan daripada bahagian-bahagian Umno. Ditetapkan bahawa untuk calon jawatan presiden, seseorang ahli itu hendaklah memenuhi kelayakan minima iaitu pencalonan daripada 30 peratus jumlah keseluruhan bahagian Umno. Angka kelayakan ialah 58 lantaran jumlah bahagian ialah 191.
Fasal 9.5 Perlembagaan Umno menetapkan bahawa calon-calon yang bertanding untuk memegang jawatan Majlis Tertinggi hendaklah dinamakan oleh sekurang-kurangnya (a) Presiden 30 % (b) Timbalan Presiden 20% (c) Naib Presiden 10% (d) Ahli Majlis Tertinggi 5% daripada jumlah bahagian yang sah mengikut Fasal 14.5.4
Justeru, bagi jawatan timbalan presiden koutanya ialah 20 peratus atau lebih kurang 40 pencalonan, naib presiden memerlukan 10 peratus atau lebih kurang 20 pencalonan dan calon bagi jawatan ahli majlis tertinggi hendaklah mendapat sekurang-kurangnya 5 peratus ataupun lebih kurang 10 pencalonan. Ini adalah hanya kelayakan minima untuk bertanding jawatan-jawatan utama dalam Umno, atau dalam bahasa politik ianya selalu dirujuk sebagai "lesen untuk menyertai gelanggang".
Sebagai orang Umno saya berpendapat bahawa kouta ini perlu dikekalkan untuk kepentingan parti dan mencerminkan kewibawaan calon yang "ingin memohon" atau yang selalu dinyatakan sebagai "menawarkan diri" jawatan tertentu.
Wajar ditelitikan bahawa secara konvensional dan tradisinya jawatan utama dalam Umno adalah pintu kepada jawatan utama dalam kerajaan, khususnya jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan sebagainya. Apabila seseorang itu memegang jawatan Presiden Umno maka dalam hembusan nafas yang sama juga beliau adalah Perdana Menteri Malaysia. Janganlah menafikan bahawa setelah memenangi jawatan Presiden Umno maka perkara pertama yang tidak akan terfikir dan disebutnya ialah jawatan Perdana Menteri. Ini adalah kenyataan.
JALAN MUDAH KE PUNCAK KUASA
Jawatan Perdana Menteri adalah amanah dan tanggungjawab yang paling besar dan penting dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. Biasanya orang akan menyifatkan bahawa jalan mudah ke puncak kuasa ialah menerusi Umno untuk berada di pucuk pimpinan kerajaan. Jawatan ini adalah amatlah penting dan berada di tahap paling atas pada rangkaian makanan dalam struktur politik negara ini.
Namun, sebenarnya jalan mudah ke puncak kuasa tidak sebegitu mudah seperti disangka. Kadangkala ianya juga tidak begitu sukar seperti difikirkan.
Bagaimanapun, bukanlah sesuatu syarat yang begitu berat bagi seseorang calon jawatan Presiden Umno itu memerlukan sekurang-kurangnya 58 pencalonan daripada jumlah bahagian-bahagian Umno di seluruh negara, dan dari Perlis ke Sabah.
Bayangkanlah sekiranya untuk jawatan ketua pegawai eksekutif, seseorang calon itu perlu memiliki kelulusan yang, antara lainnya, sarjana pentadbiran perniagaan atau yang setaraf inikan pula jawatan Ketua Eksekutif Negara! Walaupun ianya setaraf ianya bermakna bahawa kelulusan yang diperlukan ialah pada tahap sarjana dan bukan lagi bertaraf ijazah sarjana muda atau ijazah pertama.
Ini juga bermakna sekiranya seseorang calon jawatan ketua pegawai eksekutif itu berpendidikan sehingga tahap ijazah doktor falsafah atau phd, maka kelulusan ilmiahnya adalah melebihi daripada apa yang diminta.
Dalam konteks Umno, kalau boleh dibandingkan pada skala yang sama ianya bermakna sekiranya keperluan minima untuk seseorang calon itu ialah untuk menerima 58 pencalonan, sekiranya beliau memperolehi lebih daripada angka itu maka beliau adalah lebih daripada layak untuk dipertimbangkan, iaitu untuk dipilih oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung.
Bagaimanapun, dalam konteks Umno syarat kouta 30 peratus itu adalah hanya satu daripada kelayakan yang dipertimbangkan. Disebabkan kelayakan seseorang itu dalam politik dijana dan dinilai pada pertimbangan sokongan popular maka ianya sudah dikatakan layak untuk dipertimbangkan hanya pada syarat kouta 30 peratus sedangkan syarat-syarat lain tidak lagi ditelitikan.
Sekiranya seseorang calon itu telah layak dengan memperolehi melebihi daripada kelayakan minima yang ditetapkan, maka ayuh, sila ke dalam gelanggang dan bertandinglah secara lelaki budiman untuk merebut jawatan-jawatan penting dalam parti. Namun ingatlah peliharalah maruah diri dan maruah parti agar wadah perjuangan ini tidak menerima kesan dan tempias akan pertandingan yang dicemari oleh unsur-unsur yang membinasakan. Tindak-tanduk kita hari ini akan menentukan kelangsungan hidup parti supaya yang menang tidak akan menjadi api dan yang kalah tidak menjadi abu.
Bagaimana pula dengan syarat-syarat lain?
Disebabkan Perlembagaan Umno tidak menyebut kriteria-kriteria lain sebagai pra-syarat yang selalu menjadi pertimbangan maka ahli Umno hanya cenderung melihat kepada kriteria kouta ini sahaja sebagai syarat utama.
Justeru, seseorang calon itu hanya dinilai pada syarat 30 peratus dan tidak lagi pada kriteria-kriteria lain. Bolehkah kita buat penilaian seseorang calon jawatan besar itu hanya pada satu syarat sahaja selain daripada keperluan bahawa beliau hendaklah berstatus ahli.
Umno tidak meletakkan syarat lain selain daripada kouta 30 peratus.
Justeru, kelayakan minima 58 pencalonan hendaklah dilihat dalam konteks kepentingan jawatan Presiden Umno yang mana seseorang calon itu perlu benar-benar layak atau lebih dari layak untuk dipertimbangkan. Perolehan 58 pencalonan dan lebih mencerminkan bahawa seseorang itu adalah popular di kalangan ahli-ahli Umno seluruh negara dengan mendapat sokongan yang banyak untuk membolehkan beliau bertanding dan dipilih oleh sidang perwakilan.
JAWATAN PERDANA MENTERI MALAYSIA BERSIFAT INSTITUSI
Ini adalah kerana kepentingan dan atas sifat institusinya jawatan Presiden Umno maka kita perlu mengekalkan sistem kouta parti yang diperkenalkan oleh parti tidak lama dahulu. Ianya tidak dibuat tanpa sebarang sebab dan tanpa sebarang pemikiran yang mendalam akan kesan dan akibatnya kepada Umno.
Pada pendapat saya ianya bukan untuk menyekat pertandingan atau bersifat anti-demokrasi akan tetapi pada kacamata saya adalah lebih kepada tujuannya untuk memelihara dan melindungi jawatan penting itu daripada menjadi pertaruhan sesiapa sahaja dalam parti.
Sekiranya kita balik kepada sistem lama yang hanya perlukan dua pencalonan untuk setiap jawatan maka nescaya kita akan lihat barang sesiapa sahaja hatta tidak cukup syarat (dalam konteks masa kini, 58 pencalonan) sekalipun seseorang itu boleh bertanding kerana perlembagaan berkata itu adalah hak ahli untuk bertanding sebarang jawatan dalam parti.
Sesiapa sahaja ahli Umno akan berkata bahawa hanya dua pencalonan akan melayakkan beliau bertanding. Maka akan berkatalah seorang yang lain atau si polan itu dan si polan ini bahawa "kalau dia kata dia layak, aku pun juga layak bertanding jawatan presiden. Ini demokrasi ”.
Maka kita akan dapati tidak kurang daripada 10 orang akan menawarkan diri untuk jawatan Presiden Umno sekiranya kouta 30 peratus dimansuhkan dan dikembalikan kepada sistem dua pencalonan untuk semua jawatan.
Sekiranya jawatan Presiden Umno sahaja akan menarik lebih daripada 10 orang, bayangkanlah bilangan orang yang berminat atau berfikir mereka sudah layak untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden.
Bagaimana pula dengan jawatan Ahli Majlis Tertinggi?
Pada pemilihan yang lalu, jumlah calon Ahli Majlis Tertinggi sudahpun begitu ramai walaupun terdapat kouta 5 peratus pencalonan bayangkanlah sekiranya hanya dua pencalonan diperlukan untuk layak bertanding sebagai calon Ahli Majlis Tertinggi.
Hari ini Umno mempunyai lebih daripada 3 juta orang ahli dan tidak lah mustahil apabila pemansuhan kouta pertandingan akan menarik minat dan perhatian lebih ramai calon untuk jawatan-jawatan tertentu. Tidaklah mustahil jumlah calon untuk jawatan-jawatan tinggi dalam Umno kali akan mempunyai bilangan yang paling besar dalam sejarah parti sekiranya kouta pencalonan dimansuhkan untuk pemilihan parti hujung tahun ini.
Dalam senario pasca-Pilihanraya Umum Ke-12 hari ini dengan mengambilkira pelbagai sentimen orang Umno yang diluahkan dan didengari setiap hari, maka proses pemilihan jawatan tertinggi Umno ini akan menjadi suatu pesta "siapa lebih popular, siapa lebih banyak sokongan" dan pelbagai lagi. Akan tetapi faktor yang tiada ialah "siapa lebih layak untuk memimpin parti".
Ianya laksana slogan sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang menyebut bahawa "sekarang semua boleh terbang". Justeru, apakah dalam konteks Umno, mungkinkah kita akan berslogan bahawa "sekarang semua boleh bertanding?".
Mungkin si polan tu atau si polan ni yakin beliau layak untuk bertanding sesuatu jawatan itu yang setelah dimansuhkan sistem koutanya akan bersifat seperti bebas kepada semua atau free for all dalam konteks memelihara pertandingan yang sihat atau mengekal dan menyuburkan amalan demokrasi.
Yang tidak mereka ketahui ialah mungkin 10 atau 100 lagi ahli Umno pun merasakan mereka juga layak untuk dipertimbangkan dan kerana syarat minimanya begitu longgar, maka sesiapa sahaja boleh bertanding untuk memenuhi selera demokrasi.
Dalam konteks ini, akan tiada lagi perasaan hormat dan kasih kepada kerusi Presiden Umno dan sifatnya sebagai sebuah institusi akan terhakis serta-merta. Apakah kita sebagai Orang Umno mahu melihat parti kita diperlekehkan sebegitu rupa? Tentulah tidak.
Barang diingat bahawa si pemenang akan segera "menuntut tahta" jawatan Perdana Menteri Malaysia. Ketika itu kita tidakkah kita terfikir bahawa bolehkah kita semua orang Umno menerima keadaan seperti itu? Secara ringkasnya, apakah semua orang layak menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia?
Saya tidak berfikir begitu. Tidak semua berfikir begitu.
GOLONGAN BUDIMAN DALAM UMNO
Saya yakin dan percaya bahawa semasa deraf pindaan perlembangan Umno dibuat untuk memasukkan fasal jumlah syarat kelayakan minima pada sesuatu jawatan itu, golongan budiman dalam parti kita tidak langsung terfikir untuk menyekat demokrasi dalam parti akan tetapi ianya lebih bersifat kepada perasaan sayang mereka kepada ikhtiar-hidup atau survival Umno.
Mereka juga mungkin tidak terfikir untuk meletakan suatu macam medan pertahanan atau defence sheild di sekeliling jawatan-jawatan itu walaupun mereka adalah penyandang jawatan berkenaan.
Ini adalah kerana mereka juga tahu selepas meninggalkan jawatan itu, ianya tidak ladi melindungi kepentingan mereka atau mereka tidak lagi akan beruntung serta memperolehi laba daripada tindakan mereka menyediakan syarat-syarat minima. Ianya untuk para pemimpin selepas mereka yang mereka yang akan datang selepas itu. Sesungguhnya Umno bukanlah untuk segelintir sahaja kerana Umno adalah Umat Melayu dan Umat Melayu adalah Umno, dalam nafas yang sama!
Justeru, sistem kouta dalam Umno tidak wajar dilihat sebagai bersifat melindungi kepentingan individu tertentu kerana golongan budiman dalam parti sudahpun melihat gambar yang lebih besar yang antara lainnya ialah Umno adalah lebih besar daripada individu-individu tertentu hatta pendukung Umno sekalipun.
Mereka juga tidaklah kita pilih sebagai golongan budiman dalam parti tanpa sebarang sebab yang munasabah. Di tangan merekalah ditentukan nasib dan masa depan Umno dan mereka telah melakukan yang betul dan sesuatu praktikal untuk memelihara kepentingan parti dan ikhtiar-hidup Umno terus bernafas selama yang boleh.
Golongan budiman dalam parti telah pun meletakkan landasan perjuangan Umno pada jalan yang benar dan praktikal. Kita sebagai pendukung parti wajar menghormati keputusan mereka.
Justeru, kekalkan sistem kouta pencalonan dalam Umno untuk memelihara kepentingan semua, demi Agama, Bangsa dan Tanahair.
Apabila kita sanggup memegang jawatan ianya bermakna kita sanggup bekorban dan apabila kita sanggup berkorban ianya bererti bahawa kita sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan bahawa perjuangan untuk Agama, Bangsa dan Tanahair tidak akan menjadi korban.