Monday, August 6, 2007

Warisan Imam Yang Empat dan Yang Apdal di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Malaysia

Selepas beberapa hari melaporkan diri untuk bertugas di Angkasapuri pada 1995 sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Penerangan saya dimaklumkan akan suatu seloka yang seringkali bermain di bibir kalangan warga kerjanya. Ianya berbunyi:
"Angkasapuri ni cukup rahmat dan apdalnya, apatah lagi ada pemimpin-pemimpin kita yang mempunyai warisan kenabian dan imam yang empat.”
Setelah beberapa minggu di sana barulah saya ketahui apa maksud seloka itu. Ianya membabitkan nama menteri Datuk Mohamed Rahmat, Timbalan Menteri Datuk Dr Suleiman Mohamed dan Setiausaha Parlimen Datuk Mohd Shafie Apdal. Sebenarnya, ianya bukan rahsia lantaran ketiga-tiga pemimpin itu pun sedar akan seloka anak-anak buah di Angkasapuri itu. Apabila menilai semula seloka itu saya tersenyum sendiri akan kebetulannya. Suatu hari apabila bertemu untuk pertama kalinya dengan Datuk Shafie di pejabatnya saya telah diundang oleh beliau melawat kawasan Parlimennya, Semporna di Sabah dengan kata-kata:
“datanglah melawat Parlimen Semporna, kawasan yang paling sempurna di Malaysia!” diikuti dengan senyuman lebarnya.

Datuk Shafie adalah antara pemimpin muda Barisan Nasional yang telah melalui proses politik yang agak panjang sebelum ditonjolkan oleh Umno Sabah ke peringkat nasional. Orangnya amat bersahaja dan perigaya pertama yang saya dapati mengenainya adalah amat positif. Saya kagumi pencapaian pemimpin muda ini yang telah melalui pelbagai ujian politik pada usia muda bermula dengan Usno atau United Sabah Nasional Organization sebelum kelahiran Umno di Sabah.
Akan tetapi janganlah kita bersikap taking for granted dengan Datuk Shafie. Beliau mempunyai karektor yang amat berbeza – beliau adalah seorang yang lemah lembut dan amat berbudi bahasa apabila bersembang, berbicara dan berkomunikasi dengan kita akan tetapi bertukar sifat bagai seorang harimau yang ganas (mengikut bahasa politik hari ini!) apabila berada di pentas pidato.

Perilaku dan standard pidato Datuk Shafie amat bertentangan dengan sifatnya yang lemah lembut yang merupakan warisan daripada keluarganya yang ternama dan baik-baik yang disulami dengan pendidikan profesional yang molek di luar negara.Datuk Shafie akan berubah sikap serta merta apabila beliau berada di rostrum untuk berpidato.
Pendek kata, beliau cukup hebat berpidato.
Sesebuah ucapan yang boleh disifatkan biasa akan bertukar menjadi suatu pidato yang penuh dengan seruan yang berapi-rapi dan meluap-luap dengan bahasa badan yang mencerminkan keperibadian beliau yang berkeyakinan tinggi dan tegas. Kelancangan pidato dan kelarasan bahasa serta penyampaian yang selalu disebut ”power speech” akan terhambur keluar daripada pemimpin yang akan merayakan ulangtahun beliau ke 50 pada bulan 20 Oktober ini.
Mereka yang belum mengenali Datuk Shafie secara up close and personal dengan transformasi daripada karektor lemah lembut kepada pendekar laksana singa ganas pada pentas politik. Saya adalah antara mereka yang amat mengagumi kelantangan beliau semasa berpidato. Pernah seketika Tok Mat memberitahu saya:
”...kau tengok Shafie tu kecik je...tapi bila dia dapat mike kau tengok la...”

Justeru, saya pun mencari peluang untuk menyaksikan Setiausaha Parlimen Angkasapuri berpidato dan ternyata saya terkejut dengan apa yang dilihat. Kehebatannya berpidato amat memukau, lengkap dengan kawalan tonasi suara, diksi, kelancaran mengenai subjek yang diperkatakan dan kelancangan pidato itu. Bahasa badan beliau semasa di pentas juga selaras dengan sifat seseorang pemidato yang hebat.
Saya pernah mengikuti rombongan beliau semasa kempen Barisan Nasional di Pilihanraya Kecil Ijok di Kuala Selangor tidak lama dulu dan melihat prestasi pidato politiknya semakin mengancam, yang bermaksud semakin bertenaga, semakin menonjol dan semakin power! Ianya cukup luar biasa dan tidak dijangkakan akan seseorang yang berperwatakan lemah lembut dan rileks. Ketika itu beliau sedang membidas dengan tegas dan lantang seorang mantan pemimpin Umno yang kini bergerakan bersama-sama pihak pembangkang. Ironinya, pada saya, ialah kelantangan dan kepetahan pidato Datuk Shafie adalah setanding dengan bekas pemimpin itu ketika beliau berada di era primanya pada pesada politik arus perdana bersama-sama Umno. Mantan pemimpin itu pernah disifatkan sebagai pemidato sejati atau natural born orator.
Pada pandangan saya, Datuk Shafie juga berada dalam kumpulan yang sama dan mereka ini yang boleh dikira sebagai ahlinya di Malaysia tidaklah ramai lantaran bakat berpidato adalah anugerah ALLAH swbt, ianya bukan boleh dibuat-buat atau dipelajari dan jauh sekali boleh diciplak. Seperti juga maxim bahawa semua pemimpin adalah boss akan tetapi tidak semua boss boleh jadi pemimpin.
Datuk Shafie mempunyai satu lagi chip di atas bahunya -- beliau adalah TheBoss, beliau adalah pemimpin dan beliau juga seorang pemidato yang hebat!

Semalam, Sabtu 4 Ogos 2007 saya berpeluang mengikuti rombongan beliau ke Raub, Pahang untuk majlis perasmian Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Raub. Ucapan perasmian yang disampaikan beliau ternyata masih ganas dan dilakukan tanpa teks tidak seperti sesetengah pemimpin. Nampaknya bakat pidato beliau masih terserlah, mantap dan ampuh dan kelihatan seperti dipertingkatkan dari semasa ke semasa sejak akhir sekali saya lihat beliau memberi ucapan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunanya di Putrajaya.
Perjalanan hidup beliau dari Semporna ke Putrajaya amatlah jauh dan berliku-liku sehingga ini.
Datuk Shafie yang memiliki ijazah sarjana muda ekonomi dari Universiti Staffordshire, England pernah menjadi ahli ekonomi di Kementerian Kewangan Sabah selama dua tahun bermula 1982. Selepas itu Datuk Shafie menyandang jawatan Pegawai Tadbir Kanan di Jabatan Ketua Menteri Sabah sebelum dilantik sebagai Penolong Setiausaha Kanan di Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Luar Bandar Sabah.
Penyertaan beliau dalam politik arus perdana nasional bermula apabila beliau dilantik Setiausaha Politik kepada Tan Sri Sakaran Dandai yang ketika itu adalah Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi. Berdasarkan kepada kebolehan dan kewibawaannya, beliau telah diberi kepercayaan bertanding di kawasan Parlimen Semporna pada tahun 1995 yang telah beliau menangi dengan mudah. Beliau dilantik Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan pada 15 Mei 1995. Datuk Shafie mempertahankan kerusi Parlimen Semporna pada pilihanraya umum 1999 dan berikutnya pada 2004. Pada rombakan Kabinet selepas pilihanraya umum 1999, beliau dilantik Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 13 Disember 1999 dan kemudiannya bertukar ke Kementerian Pertahanan pada 29 March 2004 sebagai timbalan kepada Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, Menteri Pertahanan.
Karier politik nasional beliau yang berprofail tinggi lengkap dan dimartabatkan apabila beliau dilantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 27 Mac 2004 dalam Kabinet baru yang dibentuk oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Seri Abdullah Ahmad Badawi. Pembabitan Datuk Shafie dalam politik bermula dengan Usno pada tahun 1990. Apabila Umno lahir di Negeri Bawah Bayu itu beliau menyertainya dan dipilih Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk penggal 1993/1996 setelah mendapat 198 undi.
Pada tahun 1995 beliau telah dipilih sebagai Ketua Umno Bahagian Semporna dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Sabah. Datuk Shafie dipilih buat pertama kali sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno pada tahun 1996 dan mengekalkan jawatan itu sehingga sekarang. Pada pemilihan tahun 2000 beliau dipilih sekali lagi dengan undi 1,338 undi. Pada pemilihan perwakilan persidangan tahun 2001 beliau menang tanpa bertanding sebagai Ketua Umno Bahagian Semporna. Rekod Pilihanraya Umum Datuk Shafie juga turut sempurna di Parlimen Semporna. Pada tahun 1995 beliau menang mudah dengan majoriti 12,218 undi menewaskan calon PBS dan empat tahun selepas itu menang dengan majoriti lebih besar iaitu 13,325 undi menewaskan calon Bebas dan pada Pilihanraya Umum 2004 telah mengekalkan kerusi Parlimen Semporna untuk Barisan Nasional dengan majoriti 12,266 undi menang ke atas empat calon lain.
Datuk Shafie berkongsi hidup dengan Datin Shuryani Shuib dan mempunyai lima cahayamata anak iaitu Mohd Shazni, Sabrina, Shazwir, Mohd Shashan dan Mohd Shahmi. Beliau yang berasal daripada keluarga politik yang ternama di Sabah menemui jodohnya yang juga berasal dari keluarga politik. Datin Shuryani berasal dari Kedah Darulaman.
Beliau tidak gemar membuang masa di luar rumah dengan aktiviti-aktiviti seperti golf atau sebagainya. Bertuahlah Datin Shyuryani kerana suaminya adalah seorang family man yang selalu bersama-sama keluarga yang disayanginya. Contohnya semalam semasa saya mengunjungi beliau di kediaman rasminya di Bukit Petaling. Pukul 4 petang Sabtu dan Datuk Shafie berada di rumah dan masih berbaju Melayu yang dipakainya pagi tadi semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Raub.
Menurut Setiausaha Sulit Kanannya Sdra Abdul Karim Mustaffa Bossnya tidak hanya mengalakkan sahabat, rakan dan taulan memelihara nilai-nilai murni seperti menyayangi keluarga akan tetapi beliau sendiri menunjukkan teladan yang baik. Datuk Shafie adalah pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat dan seorang ayah yang menititikberatkan nilai-nilai murni terhadap keluarganya. Insan sebegini amat yakin dan percaya bahawa institusi keluarga adalah kunci kepada segala kejayaan. Beliau adalah seorang yang penyayang, tetapi tegas. Falsafah hidupnya mudah -- sayangi keluarga, sanjungi rakan dan tulan dan hormati dan ambil berat akan individu lain dan rakyat yang anda pimpin dan anda akan pastinya menyentuh hati mereka. Hormat akan datang dengan sendirinya.
Pemimpin sebegini pastinya akan mempunyai kekuatan persaudaraan yang ketat dengan orang-orangnya, mempunyai sanjungan dan perasaan kasih dan sayang daripada pengikut-pengikutnya dan pegawai-pegawainya yang akan meletakkan kepentingan Boss mereka melebihi kepentingan peribadi, pendek kata will give their lives to defend him, tambah Sdra Karim yang telah sembilan tahun bersama TheBossnya.
Kepada sesiapa yang ingin melihat kehebatan pidato Datuk Shafie selalu-selalulah berhubung dengan Sdra Karim atau Setiausaha Politiknya Sdra Jaujan Sambakung. Ini adalah dua tiang seri kewibawaan dan kekuatan Datuk Shafie yang telah lama bersama-sama beliau -- Jaujan sejak di Angkasapuri dan Karim sejak beliau dilantik Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Anda pasti akan terpukau dengan kehebatannya berpidato!