Tuesday, November 24, 2009

KATUP BUKU PASAI CHIN PENG, BIAQ PI KAT DIA...


Nama Chin Peng mungkin asing bagi generasi muda sekarang akan tetapi itulah nama yang mampu menimbulkan kegerunan seketika dahulu.

Chin Peng sinonim dengan komunis. Sementara komunis pula sinonim dengan kesengsaraan. Kebimbangan dan ketakutan terhadap ancaman komunis hanya berakhir selepas perjanjian damai di Hatyai, Thailand pada 2 Disember 1989.

Selepas perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) itu, nama Chin Peng sudah jarang-jarang disebut.

Dia juga gagal dalam cubaan untuk kembali ke Malaysia. Mahkamah Persekutuan pada 30 April lalu menolak permohonannya kerana gagal mengemukakan surat beranak untuk membuktikan dia warganegara in.

Ramai yang berpendapat isu Chin Peng tidak seharusnya diberi perhatian. Lelaki yang kini berusia 85 tahun itu telah banyak membawa kesengsaraan kepada rakyat negara ini. Ramai yang masih menderita sehingga kini akibat onar pihak komunis. Ramai yang mahu melupakan terus Chin Peng dari fikiran.

Namun pada masa yang sama, masih ada pihak yang seolah-olah cuba mengangkat lelaki ini sebagai 'wira'. Mereka mengaitkan isu membawa kembali Chin Peng ke sini sebagai usaha kemanusiaan.

Mungkin sudah tiba masanya untuk semua pihak menghormati keputusan kerajaan dan apa yang diputuskan oleh mahkamah sebelum ini. Sudah termaktub bahawa Chin Peng tidak dibenarkan kembali ke negara ini.

Walau atas dasar apa sekali pun, termasuklah dia sudah terlalu tua, keputusan itu wajar dihormati oleh semua pihak. Pada masa yang sama, usahlah ada pihak yang mahu tampil menjadi juara untuk memperjuangkan nasib Chin Peng.

Hormati dan insafilah nasib sebahagian daripada kita yang pernah menjadi mangsa kekejaman komunis sewaktu era darurat dahulu. Selidik kembali sejarah. Insafi kekejaman yang telah dicetuskan oleh komunis pimpinan Chin Peng sebelum perjanjian damai tersebut.

Selami apa yang dilalui oleh anggota keselamatan kita sewaktu menentang komunis dahulu. Hayati penderitaan yang ditanggung oleh ahli keluarga mereka.

Ramai di kalangan mangsa kekejaman komunis masih hidup sehingga kini. Hanya mereka yang tahu bagaimana peritnya menghadapi komunis. Kita boleh berkata apa sahaja. Namun bahu yang memikul pasti akan merasai keperitan sebenar.

Mungkin tindakan terbaik untuk menunjukkan rasa hormat dan simpati kepada mereka yang pernah menjadi mangsa komunis ialah dengan berhenti melayan polemik mengenai Chin Peng. Tutup buku mengenainya.

Banyak lagi perkara murni yang boleh diperjuangkan atas dasar kemanusiaan. Ketepikan sahaja Chin Peng. -- Utusan Malaysia


Posting ini dipetik dan disunting daripada artikel asal yang disiarkan di ruangan rencana oleh Utusan Malaysia pada 24 November 2009.

Nota: Ayahanda saya Arwah Kolonel Mohd Ali Rejab yang berpengalaman bertempur dengan gerombolan PKM semasa operasi di Gubir, Kedah pernah menceritakan kepada saya bahawa “tidak ada sesuatu yang baik mengenai komunis”.

Saya bersetuju dan berpendapat “membincangkan mengenainya membuang masa, malahan memikirkan mengenainya sekalipun adalah kerja sia-sia”.Semasa bertugas di Kangar sebagai Pewarta Bernama Negeri Perlis saya ditugaskan membuat liputan Perjanjian Damai Hatyai bersama-sama dengan Ketua Pengarang Bernama Abdul Rahman Sulaiman (sekarang Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Ketua Pasukan Komunikasi, Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Jabatan Perdana Menteri) dan Pengarang Berita Azman Ujang (kini Datuk Azman Ujang, mantan Ketua Pengarang dan Pengurus Besar Bernama).