Showing posts with label Umno. Show all posts
Showing posts with label Umno. Show all posts

Monday, July 14, 2008

SEORANG LAGI CALON NAIB PRESIDEN UMNO...


Esok seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno dijangka akan membuat pengumuman menawarkan diri untuk dicalonkan bagi jawatan Naib Presiden pada pemilihan jawatan Disember ini.

Walaupun muda pada usia 51 tahun, orang politik ini telah lama membabitkan diri dalam arena politik Umno yang bermula pada usia muda dan perjalanan politik beliau itu telah membawanya setapak demi setapak dalam hireki kepimpinan daripada Ahli Biasa kepada jawatan Ketua Pemuda Cawangan, Ketua Pemuda Bahagian, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri, Ketua Umno Bahagian dan kini Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Pada pengalaman pentadbirannya, beliau bermula sebagai setiausaha politik, setiausaha parlimen, timbalan menteri dan kini bergelar menteri. Sudah dua kementerian beliau terajui dan telah banyak asam garam dan sepak terajang politik beliau pelajari dan ketahui.

Kini beliau ingin menyandang jawatan yang lebih kanan dalam Umno kerana menurutnya: "sudah sampai masa dan ketikanya saya berbuat demikian untuk Agama, Bangsa dan Tanahair”.

Orang politik yang hebat berpidato ini dijangka akan membuat pengumuman itu pada pukul 4 petang di Kuala Lumpur selepas selesainya sebuah majlis anjuran kementerian yang beliau terajui.

Sunday, July 13, 2008

UKURLAH BAJU DI BADAN SENDIRI...


Semalam seorang lagi ketua bahagian Umno menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Naib Presiden pada pemilihan Majlis Tertinggi Umno yang dijadualkan Disember ini.

Disebabkan sudah ramai yang berbuat demikian maka angka sebenar mereka yang telah berbuat demikian tidak diketahui, akan tetapi ianya agak besar dan mungkin yang paling ramai dalam sejarah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR atau selalunya disebut UMNO.

Sebelum ini, mereka yang telah berterus terang menyatakan hasrat ialah mantan Menteri Besar Perlis Shahidan Kassim yang masih menyandang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perlis, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Adnan Yaakob, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Mohamed Hassan, bekas ketua Pergerakan Pemuda Umno Abdul Rahim Thamby Chik, bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Majlis Tertinggi Dr Rais Yatim dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Hishamuddin Hussein yang telah menyatakan hasrat tidak akan mempertahankan jawatan itu, sebaliknya ingin menaiki hireki kepimpinan dalam parti.

Mohd Isa Samad yang baru-baru ini dibebaskan daripada hukuman gantung tiga tahun akibat kesalahan politik wang dilaporkan akan bertanding jawatan berkenaan dan semalam, seorang Ahli Majlis Tertinggi Khaled Nordin menawarkan diri untuk turut sama bertanding. Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Syed Hamid Albar pula diberitakan masih lagi menimbang peluang dan semua kemungkinan sebelum membuat keputusan samada bertanding atau tidak.

Antara dua Naib Presiden yang ada sekarang – Mohd Ali Rustam dan Muhyiddin Yassin, hanya Ali yang menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan itu manakala Muhyiddin belum lagi berterus terang samada ingin kekal di jawatan berkenaan atau bertanding jawatan lain. Namun beliau dilaporkan berkata bahawa akan bertanding satu jawatan penting pada pemilihan Disember ini. Bagaimana penting jawatan itu tidak dinyatakan secara berterus terang.

Justeru, kita ingin bertanya apakah penting sangat jawatan Naib Presiden sehingga menarik minat sebegitu ramai? Apakah kriteria yang perlu diteliti akan seseorang calon itu sebelum sidang perwakilan membuat keputusan? Adakah kriteria lain dipertimbangkan?

Sebenarnya tiada kriteria ditetapkan, seseorang calon itu hanya perlu memperolehi bilangan pencalonan yang sebanyak 10 peratus (mengikut Fasal 9.5) daripada jumlah bahagian dalam Umno yang mengikut Fasal 14.5.4. untuk melayakan diri bertanding. Seorang calon itu perlu mendapat 19 pencalonan daripada sejumlah 190 bahagian.

Hanya tiga kerusi Naib Presiden – tiap satunya akan membebankan penyandangnya dengan tugas-tugas seperti Pengerusi Jawatankuasa Latihan Umno, Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan Umno dan Pengerusi Jawatankuasa Penambahan Ahli. Ketiga-tiga jawatan itu juga mempunyai tempat dalam Jawatankuasa Pengurusan Umno yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Umno dan Biro Politik Umno yang dipengerusikan oleh Presiden Umno.

Peluang melangkah ke jawatan yang lebih tinggi dalam parti termasuk ke kerusi Timbalan Presiden dan Presiden adalah kemungkinan yang paling besar mengapa jawatan Naib Presiden sentiasa diminati ramai. Glamournya jawatan berkenaan turut menjadi sebab.

Namun, dalam sejarah Umno tidak semua Naib Presiden akan menjadi Timbalan Presiden dan seterusnya Presiden akan tetapi kesemua Timbalan Presiden dan Presiden Umno pernah seketika dahulu menduduki kerusi Naib Presiden.

Saya tertarik dengan justifikasi oleh seorang daripada yang telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden yang berkata: ”saya hendak menyumbang dengan lebih bermakna untuk parti sekiranya diberikan peluang menyandang jawatan Naib Presiden.”

Agak klise bunyinya dan biasanya inilah ungkapan yang dijaja.

Persoalannya apakah dengan menduduki kerusi Ahli Majlis Tertinggi Umno tidak cukup bermakna atau tidak cukup berwibawa untuk menyumbang kepada parti? Apakah tidak cukup penting jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno untuk membuat sumbangan kepada parti.

Saya berpendapat bahawa sekiranya seseorang itu adalah pemimpin yang cukup berwibawa, walau dimana jua beliau berada atau ditempatkan merupakan wadah yang sudah cukup baik dan berkesan untuk menyumbang untuk Agama, Bangsa dan Tanahair. Hanya yang terpilih sahaja yang menduduki Majlis Tertinggi Umno, koridor kuasa yang paling penting dalam parti.

Umno tidak perlukan seorang Naib Presiden yang hanya pandai berpidato pada majlis-majlis politik dan membuat kenyataan akhbar yang berapi-api akan tetapi tidak boleh membuat kerja dalam ertikata yang sebenarnya, seperti merancang strategi yang hebat untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno sebagai teras Barisan Nasional.

Apa yang diperlukan oleh Umno hari ini adalah strategis atau sekumpulan strategis yang hebat untuk merancang dan melaksanakan pelan jangka pendek dan jangka panjang untuk sekurang-kurangnya memenangi semula kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen milik Umno yang tewas pada Pilihanraya Umum Ke-12. Barisan Nasional yang bertunjangkan Umno telah kehilangan kuasa di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan masih gagal memerintah Kelantan. Barisan Nasional juga kalah teruk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Barisan Nasional mungkin tidak boleh memenangi kesemua kerusi yang tewas akan tetapi Umno mampu mengambil balik kerusi-kerusi yang tewas hanya sekiranya parti ini telah mula merancang untuk ke arah matlamat itu sebaik sahaja selesai PRU-12 baru-baru ini.

Perancangan untuk memenangi kembali kerusi yang hilang sewajarnya bermula sejak, paling lewat pun April tahun ini dan bukannya selepas Disember ini. Saya diberitahu bahawa telahpun berlangsung beberapa siri mesyuarat peringkat tertinggi di parti-parti pembangkang dengan objektif merangka strategi dan pelan pemulihan untuk menambahkan angka kemenangan pada PRU-12. Objektif mereka ialah menawan Dewan Rakyat yang merupakan pintu ke Putrajaya.

Mereka mungkin sudah mempunyai perimudi atau navigation untuk menambah kerusi pada pilihanraya umum akan datang dan mempertahankan kerusi-kerusi DUN dan Parlimen yang ada sekiranya berlaku sebarang pilihanraya kecil menjelang PRU-13. Mereka sudah menunjukkan kesungguhan untuk menghadapi ujian politik seterusnya manakala Umno masih terperangkap dalam kemelut politik peribadi menjelang pemilihan jawatan tertinggi parti.

Bagaimana dengan Umno? Melihatkan kepada trend sekarang, lebih ramai pemimpin parti ini sedang memandang ke arah pemilihan jawatan Majlis Tertinggi daripada memikirkan ikhtiar-hidup atau survival pada PRU-13.

Justeru, apakah penting sangat jawatan Naib Presiden Umno dalam konteks politik hari ini? Apakah dengan adanya muka baru sebagai penyandang maka Umno akan lebih berwibawa untuk mengembalikan 5+1 negeri yang telah hilang kepada parti pembangkang?

Tepuklah dada tanyakan selera, apakah kita telah mengukur baju kita di badan sendiri? Apakah kita mempunyai material Naib Presiden untuk bersama-sama Presiden dan Timbalan Presiden untuk merancang, melaksana dan mencatat kejayaan pada PRU-13 ini?

Tepuklah dada dan ukurlah baju itu betul-betul...

Tuesday, July 1, 2008

DEPA DOK PERATI SAPA?















Pak Tun macam perati Sdra Anwar. Sdra pulak dok perati sapa?

Bagaimanapun ini hanyalah impression Utarawan. Sebenarnya kedudukan mereka ketika gambar ini diambil semasa Perhimpunan Agung UMNO 1997 bukanlah begitu. Kedudukan Pak Tun dan Sdra Anwar terpisah oleh sebuah rostrum di tengah-tengah pentas di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.

Kedudukan Timbalan Presiden semasa di pentas adalah di sebelah kanan Presiden manakala di sebelah kiri Presiden pula ialah kedudukan Setiausaha Agung.

Ketika itu Pak Tun masih presiden dan Sdra timbalannya.

Gambar ihsan Knights Templar. Terima kasih.

Sunday, April 6, 2008

WAJARKAH DIMANSUHKAN KOUTA PENCALONAN DALAM UMNO?

Apabila seseorang itu memohon jawatan tertentu beliau adalah tertakluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan, antaranya kelayakan ilmiah, pengalaman dan kemahiran. Kelayakan yang ditetapkan itu selalu difikiran sesuai dengan tahap dan taraf jawatan yang dipohon. Begitu juga dengan gaji yang ditawarkan.

Contohnya untuk jawatan ketua pegawai eksekutif sesebuah syarikat, biasanya kelayakan minimanya ialah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) disamping mempunyai pengalaman dan kemahiran tertentu. Disamping ijazah sarjana itu, beliau diperlukan mempunyai ijazah sarjana muda (atau ijazah pertama) dan sijil-sijil pendidikan pada tahap formal dan sebagainya.

Seseorang yang memiliki kelayakan yang ditetapkan ini selalunya dilihat sebagai sudah sedia memikul tanggungjawab, amanah serta tugas yang menanti. Justeru, kapasiti minda yang sesuai adalah diperlukan untuk segala tahap jawatan yang ditawarkan. Sekiranya tidak maka beliau tidak akan memohon jawatan berkenaan. Pemohon telahpun menepuk dada menanya selera terlebih dahulu.

Apabila strata jawatan itu tinggi dalam rangkaian makanan itu maka kelayakannya juga adalah tinggi, pada amalan biasa ianya setimpal dan selaras. Begitu juga dengan jawatan-jawatan rendah yang juga tertakluk kepada beberapa syarat kelayakan termasuklah kelulusan ilmiah yang mungkin tidaklah setinggi jawatan ketua pegawai eksekutif atau pengurus.

Pada pendapat saya, jawatan-jawatan politik tidaklah terkecuali daripada kelayakan walaupun pada tahap minima sungguhpun kadangkala kelayakan ilmiah dikatakan tidak penting. Yang peliknya walaupun dikatakan tidak penting namun tahap pendidikan seseorang calon itu selalu menjadi pertimbangan dan ianya sentiasa menjadi sesuatu ketentuan. Tidaklah ramai mereka yang tidak berpendidikan tinggi boleh pergi jauh dalam politik dan ini adalah kenyataan.

Namun, dalam konteks Umno hari ini, kelayakan ilmiah bukanlah menjadi persoalan kerana yang didebatkan ialah kelayakan utama atau tiket untuk memasuki gelanggang politik Umno bagi bertanding jawatan-jawatan utama dalam parti.

Perlembagaan Umno menyatakan dengan jelas bahawa calon-calon jawatan pada peringkat Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri hendaklah memenuhi beberapa syarat sebelum layak bertanding.
KOUTA PERTANDINGAN
Antaranya ialah jumlah kouta pencalonan daripada bahagian-bahagian Umno. Ditetapkan bahawa untuk calon jawatan presiden, seseorang ahli itu hendaklah memenuhi kelayakan minima iaitu pencalonan daripada 30 peratus jumlah keseluruhan bahagian Umno. Angka kelayakan ialah 58 lantaran jumlah bahagian ialah 191.

Fasal 9.5 Perlembagaan Umno menetapkan bahawa calon-calon yang bertanding untuk memegang jawatan Majlis Tertinggi hendaklah dinamakan oleh sekurang-kurangnya (a) Presiden 30 % (b) Timbalan Presiden 20% (c) Naib Presiden 10% (d) Ahli Majlis Tertinggi 5% daripada jumlah bahagian yang sah mengikut Fasal 14.5.4
Justeru, bagi jawatan timbalan presiden koutanya ialah 20 peratus atau lebih kurang 40 pencalonan, naib presiden memerlukan 10 peratus atau lebih kurang 20 pencalonan dan calon bagi jawatan ahli majlis tertinggi hendaklah mendapat sekurang-kurangnya 5 peratus ataupun lebih kurang 10 pencalonan. Ini adalah hanya kelayakan minima untuk bertanding jawatan-jawatan utama dalam Umno, atau dalam bahasa politik ianya selalu dirujuk sebagai "lesen untuk menyertai gelanggang".

Sebagai orang Umno saya berpendapat bahawa kouta ini perlu dikekalkan untuk kepentingan parti dan mencerminkan kewibawaan calon yang "ingin memohon" atau yang selalu dinyatakan sebagai "menawarkan diri" jawatan tertentu.

Wajar ditelitikan bahawa secara konvensional dan tradisinya jawatan utama dalam Umno adalah pintu kepada jawatan utama dalam kerajaan, khususnya jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan sebagainya. Apabila seseorang itu memegang jawatan Presiden Umno maka dalam hembusan nafas yang sama juga beliau adalah Perdana Menteri Malaysia. Janganlah menafikan bahawa setelah memenangi jawatan Presiden Umno maka perkara pertama yang tidak akan terfikir dan disebutnya ialah jawatan Perdana Menteri. Ini adalah kenyataan.

JALAN MUDAH KE PUNCAK KUASA
Jawatan Perdana Menteri adalah amanah dan tanggungjawab yang paling besar dan penting dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. Biasanya orang akan menyifatkan bahawa jalan mudah ke puncak kuasa ialah menerusi Umno untuk berada di pucuk pimpinan kerajaan. Jawatan ini adalah amatlah penting dan berada di tahap paling atas pada rangkaian makanan dalam struktur politik negara ini.

Namun, sebenarnya jalan mudah ke puncak kuasa tidak sebegitu mudah seperti disangka. Kadangkala ianya juga tidak begitu sukar seperti difikirkan.

Bagaimanapun, bukanlah sesuatu syarat yang begitu berat bagi seseorang calon jawatan Presiden Umno itu memerlukan sekurang-kurangnya 58 pencalonan daripada jumlah bahagian-bahagian Umno di seluruh negara, dan dari Perlis ke Sabah.

Bayangkanlah sekiranya untuk jawatan ketua pegawai eksekutif, seseorang calon itu perlu memiliki kelulusan yang, antara lainnya, sarjana pentadbiran perniagaan atau yang setaraf inikan pula jawatan Ketua Eksekutif Negara! Walaupun ianya setaraf ianya bermakna bahawa kelulusan yang diperlukan ialah pada tahap sarjana dan bukan lagi bertaraf ijazah sarjana muda atau ijazah pertama.

Ini juga bermakna sekiranya seseorang calon jawatan ketua pegawai eksekutif itu berpendidikan sehingga tahap ijazah doktor falsafah atau phd, maka kelulusan ilmiahnya adalah melebihi daripada apa yang diminta.

Dalam konteks Umno, kalau boleh dibandingkan pada skala yang sama ianya bermakna sekiranya keperluan minima untuk seseorang calon itu ialah untuk menerima 58 pencalonan, sekiranya beliau memperolehi lebih daripada angka itu maka beliau adalah lebih daripada layak untuk dipertimbangkan, iaitu untuk dipilih oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung.

Bagaimanapun, dalam konteks Umno syarat kouta 30 peratus itu adalah hanya satu daripada kelayakan yang dipertimbangkan. Disebabkan kelayakan seseorang itu dalam politik dijana dan dinilai pada pertimbangan sokongan popular maka ianya sudah dikatakan layak untuk dipertimbangkan hanya pada syarat kouta 30 peratus sedangkan syarat-syarat lain tidak lagi ditelitikan.

Sekiranya seseorang calon itu telah layak dengan memperolehi melebihi daripada kelayakan minima yang ditetapkan, maka ayuh, sila ke dalam gelanggang dan bertandinglah secara lelaki budiman untuk merebut jawatan-jawatan penting dalam parti. Namun ingatlah peliharalah maruah diri dan maruah parti agar wadah perjuangan ini tidak menerima kesan dan tempias akan pertandingan yang dicemari oleh unsur-unsur yang membinasakan. Tindak-tanduk kita hari ini akan menentukan kelangsungan hidup parti supaya yang menang tidak akan menjadi api dan yang kalah tidak menjadi abu.
Bagaimana pula dengan syarat-syarat lain?

Disebabkan Perlembagaan Umno tidak menyebut kriteria-kriteria lain sebagai pra-syarat yang selalu menjadi pertimbangan maka ahli Umno hanya cenderung melihat kepada kriteria kouta ini sahaja sebagai syarat utama.

Justeru, seseorang calon itu hanya dinilai pada syarat 30 peratus dan tidak lagi pada kriteria-kriteria lain. Bolehkah kita buat penilaian seseorang calon jawatan besar itu hanya pada satu syarat sahaja selain daripada keperluan bahawa beliau hendaklah berstatus ahli.

Umno tidak meletakkan syarat lain selain daripada kouta 30 peratus.

Justeru, kelayakan minima 58 pencalonan hendaklah dilihat dalam konteks kepentingan jawatan Presiden Umno yang mana seseorang calon itu perlu benar-benar layak atau lebih dari layak untuk dipertimbangkan. Perolehan 58 pencalonan dan lebih mencerminkan bahawa seseorang itu adalah popular di kalangan ahli-ahli Umno seluruh negara dengan mendapat sokongan yang banyak untuk membolehkan beliau bertanding dan dipilih oleh sidang perwakilan.

JAWATAN PERDANA MENTERI MALAYSIA BERSIFAT INSTITUSI
Ini adalah kerana kepentingan dan atas sifat institusinya jawatan Presiden Umno maka kita perlu mengekalkan sistem kouta parti yang diperkenalkan oleh parti tidak lama dahulu. Ianya tidak dibuat tanpa sebarang sebab dan tanpa sebarang pemikiran yang mendalam akan kesan dan akibatnya kepada Umno.

Pada pendapat saya ianya bukan untuk menyekat pertandingan atau bersifat anti-demokrasi akan tetapi pada kacamata saya adalah lebih kepada tujuannya untuk memelihara dan melindungi jawatan penting itu daripada menjadi pertaruhan sesiapa sahaja dalam parti.

Sekiranya kita balik kepada sistem lama yang hanya perlukan dua pencalonan untuk setiap jawatan maka nescaya kita akan lihat barang sesiapa sahaja hatta tidak cukup syarat (dalam konteks masa kini, 58 pencalonan) sekalipun seseorang itu boleh bertanding kerana perlembagaan berkata itu adalah hak ahli untuk bertanding sebarang jawatan dalam parti.

Sesiapa sahaja ahli Umno akan berkata bahawa hanya dua pencalonan akan melayakkan beliau bertanding. Maka akan berkatalah seorang yang lain atau si polan itu dan si polan ini bahawa "kalau dia kata dia layak, aku pun juga layak bertanding jawatan presiden. Ini demokrasi ”.

Maka kita akan dapati tidak kurang daripada 10 orang akan menawarkan diri untuk jawatan Presiden Umno sekiranya kouta 30 peratus dimansuhkan dan dikembalikan kepada sistem dua pencalonan untuk semua jawatan.

Sekiranya jawatan Presiden Umno sahaja akan menarik lebih daripada 10 orang, bayangkanlah bilangan orang yang berminat atau berfikir mereka sudah layak untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden.

Bagaimana pula dengan jawatan Ahli Majlis Tertinggi?

Pada pemilihan yang lalu, jumlah calon Ahli Majlis Tertinggi sudahpun begitu ramai walaupun terdapat kouta 5 peratus pencalonan bayangkanlah sekiranya hanya dua pencalonan diperlukan untuk layak bertanding sebagai calon Ahli Majlis Tertinggi.

Hari ini Umno mempunyai lebih daripada 3 juta orang ahli dan tidak lah mustahil apabila pemansuhan kouta pertandingan akan menarik minat dan perhatian lebih ramai calon untuk jawatan-jawatan tertentu. Tidaklah mustahil jumlah calon untuk jawatan-jawatan tinggi dalam Umno kali akan mempunyai bilangan yang paling besar dalam sejarah parti sekiranya kouta pencalonan dimansuhkan untuk pemilihan parti hujung tahun ini.

Dalam senario pasca-Pilihanraya Umum Ke-12 hari ini dengan mengambilkira pelbagai sentimen orang Umno yang diluahkan dan didengari setiap hari, maka proses pemilihan jawatan tertinggi Umno ini akan menjadi suatu pesta "siapa lebih popular, siapa lebih banyak sokongan" dan pelbagai lagi. Akan tetapi faktor yang tiada ialah "siapa lebih layak untuk memimpin parti".

Ianya laksana slogan sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang menyebut bahawa "sekarang semua boleh terbang". Justeru, apakah dalam konteks Umno, mungkinkah kita akan berslogan bahawa "sekarang semua boleh bertanding?".

Mungkin si polan tu atau si polan ni yakin beliau layak untuk bertanding sesuatu jawatan itu yang setelah dimansuhkan sistem koutanya akan bersifat seperti bebas kepada semua atau free for all dalam konteks memelihara pertandingan yang sihat atau mengekal dan menyuburkan amalan demokrasi.

Yang tidak mereka ketahui ialah mungkin 10 atau 100 lagi ahli Umno pun merasakan mereka juga layak untuk dipertimbangkan dan kerana syarat minimanya begitu longgar, maka sesiapa sahaja boleh bertanding untuk memenuhi selera demokrasi.

Dalam konteks ini, akan tiada lagi perasaan hormat dan kasih kepada kerusi Presiden Umno dan sifatnya sebagai sebuah institusi akan terhakis serta-merta. Apakah kita sebagai Orang Umno mahu melihat parti kita diperlekehkan sebegitu rupa? Tentulah tidak.

Barang diingat bahawa si pemenang akan segera "menuntut tahta" jawatan Perdana Menteri Malaysia. Ketika itu kita tidakkah kita terfikir bahawa bolehkah kita semua orang Umno menerima keadaan seperti itu? Secara ringkasnya, apakah semua orang layak menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia?

Saya tidak berfikir begitu. Tidak semua berfikir begitu.

GOLONGAN BUDIMAN DALAM UMNO
Saya yakin dan percaya bahawa semasa deraf pindaan perlembangan Umno dibuat untuk memasukkan fasal jumlah syarat kelayakan minima pada sesuatu jawatan itu, golongan budiman dalam parti kita tidak langsung terfikir untuk menyekat demokrasi dalam parti akan tetapi ianya lebih bersifat kepada perasaan sayang mereka kepada ikhtiar-hidup atau survival Umno.

Mereka juga mungkin tidak terfikir untuk meletakan suatu macam medan pertahanan atau defence sheild di sekeliling jawatan-jawatan itu walaupun mereka adalah penyandang jawatan berkenaan.
Ini adalah kerana mereka juga tahu selepas meninggalkan jawatan itu, ianya tidak ladi melindungi kepentingan mereka atau mereka tidak lagi akan beruntung serta memperolehi laba daripada tindakan mereka menyediakan syarat-syarat minima. Ianya untuk para pemimpin selepas mereka yang mereka yang akan datang selepas itu. Sesungguhnya Umno bukanlah untuk segelintir sahaja kerana Umno adalah Umat Melayu dan Umat Melayu adalah Umno, dalam nafas yang sama!

Justeru, sistem kouta dalam Umno tidak wajar dilihat sebagai bersifat melindungi kepentingan individu tertentu kerana golongan budiman dalam parti sudahpun melihat gambar yang lebih besar yang antara lainnya ialah Umno adalah lebih besar daripada individu-individu tertentu hatta pendukung Umno sekalipun.

Mereka juga tidaklah kita pilih sebagai golongan budiman dalam parti tanpa sebarang sebab yang munasabah. Di tangan merekalah ditentukan nasib dan masa depan Umno dan mereka telah melakukan yang betul dan sesuatu praktikal untuk memelihara kepentingan parti dan ikhtiar-hidup Umno terus bernafas selama yang boleh.

Golongan budiman dalam parti telah pun meletakkan landasan perjuangan Umno pada jalan yang benar dan praktikal. Kita sebagai pendukung parti wajar menghormati keputusan mereka.

Justeru, kekalkan sistem kouta pencalonan dalam Umno untuk memelihara kepentingan semua, demi Agama, Bangsa dan Tanahair.
Apabila kita sanggup memegang jawatan ianya bermakna kita sanggup bekorban dan apabila kita sanggup berkorban ianya bererti bahawa kita sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan bahawa perjuangan untuk Agama, Bangsa dan Tanahair tidak akan menjadi korban.