Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Tuesday, October 14, 2008

MASIH ADA YANG INGKAR...


Sebagai Orang Melayu saya amat bersetuju dengan saranan calon Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Mohd Yassin bahawa Gerakan hendaklah bertanggungjawab dengan mengambil tindakan tegas terhadap ketua wanitanya di atas kenyataan boleh mengugat hubungan parti-parti komponen Barisan Nasional serta mewujudkan suasana tegang antara kaum.

Muhyiddin telah dilaporkan oleh akhbar Berita Harian semalam sebagai berkata bahawa kenyataan Tan Lian Hoe boleh menyinggung perasaan orang Melayu dan mungkin boleh mencetuskan masalah baru.

“Sebelum ini pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN, semua parti komponen sudah dinasihatkan supaya mengelakkan kenyataan polemik yang boleh menjejaskan keharmonian BN atau yang menyentuh sensitiviti kaum, tetapi nampaknya ada yang tidak mahu mendengar nasihat itu," katanya.

Sebelum ini juga Majlis Tertinggi Umno telah bertindak tegas terhadap Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Ahmad Ismail yang dikatakan telah membuat kenyataan mempertikaikan status penduduk bukan Melayu semasa kempen Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dan Tan adalah antara mereka yang begitu bersemangat mengesa agar dikenakan tindakan tegas terhadap Ahmad. Umno yang dikatakan akur akan gesaan Gerakan telah bertindak mengantung keahlian ketua Umno bahagian itu selama tiga tahun.

Kini Tan pula dilaporkan membuat kenyataan yang antara lainnya, mempertikaikan (baca:mengungkit) status penduduk asal negara ini dengan mendakwa bahawa kaum Melayu juga pendatang seperti Cina dan India, manakala penduduk asal negara ini hanya Orang Asli.

Bunyi kenyataan itu hampir sama dengan kenyataan yang pernah dibuat oleh seorang bekas Timbalan Presiden MCA seketika dahulu yang turut mempersoalkan status masyarakat Melayu di Malaysia.

Tan yang juga Timbalan Menteri Penerangan telah dilaporkan berucap pada satu majlis secara terbuka yang mengajak ahli parti itu keluar daripada bayangan Umno sambil mendakwa selama ini mereka hanya mengikut telunjuk Umno, diherdik serta dipijak pucuk pimpinan parti tunjang pemerintahan BN itu.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membidas kenyataan pedas Tan yang mendakwa asal-usul setiap kaum di negara ini adalah sama.

Sambil meluahkan rasa kesal mereka, rata-rata NGO ketika dihubungi akhbar berkenaan menyifatkan kenyataan Tan itu tidak masuk akal dan buta sejarah, selain menyentuh sensitiviti kaum di negara ini yang dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian yang terjalin

Untuk rekod, Tan ialah Ahli Parlimen Gerik yang majoriti pengundinya ialah Melayu sebanyak 73.49 peratus, Cina 17.87 peratus, India 7.46 peratus dan lain-lain sebanyak 1.18 peratus.

Jumlah pengundi di P54 Gerik ialah seramai 26, 227 dan Tan menang dengan majoriti 5,573 setelah memperolehi 12, 526 undi menewaskan calon PAS yang mendapat 6,953 undi.

Sebelum Pilihanraya Umum ke-12, Tan ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang yang majoriti pengundinya juga ialah Melayu, atau sebanyak 63.48 peratus daripada jumlah pengundi 55,471 orang.

Saya ingin bertanya apakah pendirian Gerakan dalam hal ini, khususnya Koh Tsu Koon? Apakah akan ada sebarang tindakan ekoran keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi BN seperti yang dinyatakan oleh Muhyiddin.

Bagaimana pula dengan Majlis Tertinggi Umno? Apakah akan ada tindakan terhadap mereka yang masih mengungkit status Melayu di negara ini? Ataupun perkara ini akan hanya dibiarkan senyap dan berlalu begitu sahaja lantaran sikap "tolak ansur" (baca:depa dok tolak, kita dok ansoq pi) yang agak terkenal di dalam Umno?

Apakah pula reaksi para panglima Umno? Mereka sedang bergelut dan menanti pencalonan untuk jawatan Majlis Tertinggi. Apakah bagi mereka perkara ini enteng sahaja?

Friday, September 19, 2008

HARI HARI TERAKHIR...


"SENDIRI MAU PIKIAQ LA...". Gambar hiasan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa mengulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2002 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.


Saya memahami perasaan seseorang yang sedang menghadapi hari-hari terakhirnya.

Gundah gulana, sering termenung menjauh, lebih selesa menjauhkan diri daripada mereka yang sentiasa dekat dengannya dan sering bersendirian serta sukar untuk dibawa berbual walaupun topik yang ringan yang mungkin boleh menceriakan hati. Seringkali muka masam mencuka.

Mungkin beliau berfikir apa dah jadi atau apa akan jadi, mungkin mengimbas kembali dan mungkin memandang ke hadapan. Semua serba mungkin akan tetapi yang tidak lagi mungkin adalah esok atau lusa adalah hari-hari terakhirnya.

Itu yang pasti.

Situasi ini pernah saya saksikan sendiri akan seorang anggota Jemaah Menteri pada hari-hari terakhirnya seketika dahulu. Setelah hari itu sampai maka beliau pun mengadakan sidang berita (bukan sidang media atau sidang akhbar seperti yang selalu disalah sebut oleh pemberita dan wartawan cetak dan elektronik setiap hari) untuk menyatakan kepada umum bahawa beliau telah dengan sukarela meletak jawatan eksekutifnya. Bosnya tidaklah berkata demikian.

Siapa yang betul atau tidak dalam hal itu tidak lagi menjadi soal akan tetapi yang pasti anggota Jemaah Menteri itu tidak lagi berada di kerusi empuknya.

Apakah hari ini kita sedang menyaksikan hari-hari terakhirnya seseorang, laksana "The Last Days Of Pompei?"

pix by Jediraj...

Monday, July 28, 2008

APABILA KENA TARBI, BUKAN TARBIYAH...


Dua hari lepas seorang ketua sebuah parti politik "menampar muka" segerombolan orang Melayu yang selama ini mendakwa memperjuangkan politik Islam.

Tamparan itu agak menyakitkan apabila si bukan Melayu itu mengungkit: "Pakatan Rakyat perlu menimbang secara serius sama ada PAS patut terus dibenarkan menganggotainya." Lebih mendukalarakan lagi apabila dia berkata jaminan Abdul Hadi Awang kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bahawa PAS tidak akan meninggalkan pakatan itu bagi menyertai BN adalah tidak ikhlas dan tidak disokong oleh perkembangan kebelakangan ini.

Sampai sekarang parti orang-orang Melayu itu masih belum membalas kenyataan pedas itu, kalau ada pun hanyalah retorik yang bersifat apologetik. Nampaknya menikus jugalah mereka ini apabila berdepan dengan bukan Melayu akan tetapi pantang sahaja dicabar oleh Umno maka segeralah mereka marah membara, naik semangat dan menangkis seakan tiada lagi esok.

Mereka hanya hebat menyerang dan menyerang-balas dengan pidato yang berapi-rapi apabila berhadapan dengan Umno, sebuah parti orang Melayu akan tetapi seperti terkunci mulut hanya apabila si bukan Melayu itu bersuara. Hebat sungguh nampaknya si bukan Melayu itu!

Apakah mereka takut akan digugurkan daripada sebuah kerjasama longgar yang sehingga ini masih belum didaftarkan secara rasmi untuk dinamakan Pakatan Rakyat? Apakah mereka takut akan kehilangan jawatan menteri besar, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco), jawatan ahli majlis perbandaran dan jawatan-jawatan lain yang kesemuanya merupakan harta rampasan perang pada 8 Mac 2008?

Apakah kerana diberi kesempatan menikmati kedudukan yang sekelumit serta tidak berkuasa maka mereka tidak berani menyanggah kata-kata pedas pemimpin bukan Melayu itu?

Hebatkah sangat pakatan itu sehinggakan hampir kesemua pemimpin parti yang selama ini mendakwa memperjuangkan politik Islam ini membisu seribu bahasa, menikus dan memandang ke arah lain apabila muka mereka diludah? Apakah mereka lebih takut kepada bukan Melayu daripada Melayu? Apakah mereka khuatir akan kehilangan segala-galanya apabila digugurkan daripada pakatan itu?

Apakah yang akan rugi sedangkan selama ini mereka hanya menumpang ihsan si bukan Melayu – diberikan jawatan menteri besar sebagai balasan untuk tidak berkata apa-apa apabila parti bukan Melayu itu memonopoli kesemua kuasa dan kedudukan di sebuah kerajaan negeri, diketepikan daripada pemerintahan di sebuah negeri yang lain dan hampir tidak mempunyai suara sebuah negeri yang berjiran.

Beginilah nasib segerombolan orang-orang Melayu ini, hanya kerana kuasa yang sedikit.

Selama ini mereka dilayan tidak ubah seperti melukut di tepi gantang, maka apakah yang menjadi masalah sekiranya tidak lagi bersekutu dengan parti-parti bukan Melayu ini untuk mengambil keputusan bergabung dengan Umno yang sentiasa memperjuangkan Agama, Bangsa dan Tanahair dan menobatkan Islam sebagai wadah perjuangan?

Thursday, July 24, 2008

TAKAN YANG REJECT SAHAJA?...


Semalam tiga bekas ahli Umno menyertai sebuah parti pembangkang. Pastinya parti berkenaan mengharapkan agar ianya menjadi cetusan pembakar semangat agar ramai lagi di kalangan Umno menyertai mereka.

Ketiga-tiga mereka ini amat kurang dikenali, hanya setelah mereka sendiri mengingatkan kita siapakah mereka seketika dahulu barulah kita sedar bahawa mereka pernah berada dalam Umno, yakni bekas ahli Umno.

Mengikut rekod, dua daripada mereka pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen manakala seorang lagi langsung tidak pernah terdengar namanya. Mungkinkah ketika itu sudah tidak ada orang lain yang lebih layak maka pucuk pimpinan parti terpaksa memilih mereka sebagai calon daripada membiarkan kerusi parlimen berkenaan jatuh ke tangan parti pembangkang?

Saya gunakan perkataan bekas dua kali kerana itulah sifat mereka – bekas ahli Umno yang dalam konteks politik hari ini tidak akan mendatangkan untung kepada sesiapa pun – masuk tidak menambah dan keluar Umno pun tidak akan mengurang.

Apakah Umno akan lemah apabila mereka ini menyertai parti pembangkang?

Tentu sekali tidak kerana mereka tidaklah berpengaruh, malahan ada antara mereka yang telah lama ditolak dan diketepikan tidak hanya oleh pucuk pimpinan Umno malahan oleh para pengundi. Pendek kata, kehadiran mereka tidaklah mengoncang political equation dalam Umno, walaupun di peringkat negeri atau bahagian pastinya tidak langsung mencetuskan sebarang regresion, jauh sekali sebarang kegelisahan.

Apakah sifat mereka mungkin lebih baik sedikit daripada melukut di tepi gantang, atau sama?

Apakah pemimpin besar parti pembangkang itu hanya mampu menarik minat mereka yang sudah direject sahaja? Mana dia Ahli Parlimen Barisan Nasional yang akan berpaling tadah? Di mana dia ketua-ketua Umno bahagian yang dikatakan akan menyeberang ke sana?

Apakah mereka yang ditunggu-tunggu akan menyertai parti pembangkang ini masih bersifat tunggu dan lihat atau "hang tunggu aku, aku pun dok tengok hang, macam tu ka"?

Apakah mereka sanggup bersekongkol dan duduk sebarisan dengan gerombolan orang politik yang sudah direject ini?

Thursday, June 19, 2008

APABILA PAK LAH DIKUCIN KORAPKAN...

MUTAKHIR...

Dewan Tertinggi Barisan Nasional yang bermesyuarat petang tadi TIDAK mengambil sebarang tindakan samada tegas atau kurang tegas terhadap SAPP. Ini amat membingungkan!

Sekiranya sebelum ini seorang ahli parlimen Barisan Nasional telah dikenakan tindakan gantung keahlian (celaan) kerana bertindak di luar party line, kenapakah tindakan yang jauh lebih ekstrim seperti menyatakan TIDAK LAGI PERCAYA TERHADAP KEPIMPINAN ABDULLAH HAJI AHMAD SEBAGAI PERDANA MENTERI tiada tindakan tegas?

Apabila kita menyatakan bahawa tidak lagi percaya akan kepimpinan seseorang itu, ia samalah juga seperti berkata bahawa seseorang itu (1) tidak lagi boleh dipercayai dan tidak lagi diyakini(2) harus meletak jawatan dan mengundur diri dan (3) perlu diganti dengan pemimpin lain.

INI ADALAH KATA-KATA YANG AMAT KESAT DALAM POLITIK persis SUATU PENGHINAAN dan sekiranya tiada tindakan tegas diambil terhadap dissent seperti ini maka besar kemungkinan pihak yang kepimpinannya tidak lagi dipercayai itu bermasalah atau mempunyai masalah dalaman dirinya untuk memahami implikasi kata-kata kesat itu.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah politik Malaysia seseorang perdana menteri itu dilemparkan kepada mukanya kata-kata bahawa "KAMI TIDAK LAGI MEMPERCAYAI ANDA!".

Seharusnya tindakan tegas diambil. Apakah Dewan Tertinggi BN enggan mengambil tindakan atau pengerusi Dewan Tertinggi BN enggan mengambil sesuatu tindakan?

Saya amat bersetuju dengan blogger kanan A.Kadir Jasin bahawa samada undi tidak percaya akan berjaya dibentangkan, dibahas dan diluluskan oleh Dewan Rakyat bukanlah sesuatu yang penting. Samada ia berjaya atau tidak berjaya TIDAKlah penting.

Yang penting ialah implikasi kata-kata bahawa seseorang perdana menteri itu tidak lagi percayai. Ini adalah celaan yang paling hebat bagi seseorang pemimpin kerajaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Celaaan+Tempelak = Penghinaan...


POSTING AWAL...

APABILA PAK DIKUCIN KORAPKAN...

Kalau saya, sudah pasti akan berasa amat tersinggung dan marah.

Sebagai rakyat Malaysia saya tidak dapat memaafkan tindakan mengHINA Abdullah Haji Ahmad, perdana menteri yang selama ini disanjung tinggi melangit.

Masakan tidak, selama kesemua sanjung-menyanjung, jek macam punya jek, sokongan penuh yang tidak berbelah bagi serta budaya mencium tangan dan jolok jari 3-line, ada pula depa dok HINA Abdullah.

Saya berasa pelik kerana kerana daripada apa yang dibaca dalam akhbar-akhbar arus perdana selama ini, kelihatan bahawa kewibawaan perdana menteri tidak pernah dipertikaikan dan sentiasa diangkat, dijulang dan didewa-dewakan sehinggakan boleh menyebabkan beliau gayat! Di dada-dada akhbar selama ini beliau sentiasa dipuji kerana dasar-dasar yang hebat dan ungkapannya: "saya ada banyak kerja nak buat."

Justeru, tindakan ini tidak boleh dimaafkan, langsung tidak boleh dilupakan dan perlukan kepada tindakan tegas kerana BELUM pernah lagi dalalam sejarah politik negara ini seseorang perdana menteri dihina sebegitu rupa.

Malu ni...tobat tebai! Kalau tak malu lagi tek tau la...

Pak Long saya di Tandop, Alor Setar bertanya: "Pasai pa depa buat lagu tu kat dia? Dia kan barghu saja dapat mandat kuat 2/3? Harghu la lagu ni? Dulu Pak Tun orghang dok mengata jugak tapi tarak la dok hina sampai lagu ni...bukan ka?"

Tapi, member lama Bang Din Tarik Kereta di Megat Dewa dekat Alor Setar pula kata: "Loqlaq puak-puak ni...pada dok kata kat dia lagu tu...tapi la ni macam-mcam buleh dok kata pa...kerajaan kata depa la ni, apadia, teluih..celuih? padia aku tak tau tapi bunyi macam tu la...ka apa ka?"

Apa bangsat sangatkah perdana menteri ini? Apa sengkek sangat perdana menteri ini? Apa haprak sangatkah perdana menteri ini?

Bukankah baru-baru ini sahaja beliau dinamakan sebagai Menteri Kewangan terbaik negara kita dan bukankah selama ini kita diberitahu oleh akhbar arus perdana bahawa Abdullah adalah hadiah terbaik kepada negara kita? Lebih baik daripada perdana-perdana menteri sebelumnya?

Siapa dia yang berani HINA Pak Lah? Hebat sangatkah si penghina ini? Peylaq sungguh!

Apa depa ni takdak kergja lain ka? Biaq pi lah kat Abdullah, dia tu banyak kerja had belum siap, sebrok semanjang, letih sampai kerap dok tidoq...Kesian la kat dia...Kesian...Kesian...

Seandainya saya adalah antara penasihat Abdullah, saya akan tanpa berfikir kali kedua mencadangkan agar dua Ahli Parlimen parti berkenaan dipecat daripada Barisan Nasional serta merta kerana melanggar etika.

Akan tetapi sekiranya tindakan itu diambil maka Barisan Nasional akan hilang pula dua kerusi Parlimen dan akan semakin parahlah nasibnya yang kini sudah semakin nazak!

Susah jugak lagu ni...haru birghu ada...celaru cacamarba pun ada....Awat jadi lagu ni? Ada ka, buat kat perdana menteri macam kucin korap....ish ish ish!

Takkan perdana menteri ni kucin korap kot?... Dulu di Alor Setar kami dengaq satu ungkapan -- "pokok nyiok belum tumbang, kora-kora pakat naik dah!"...