Kini orang sedang perkatakan mengenai Dasar Ekonomi Baru.
Adakah ia Dasar Ekonomi Baru atau Dasar Baru Ekonomi? Pohon cerdik pandai atau pakar bahasa menjelaskan perkara ini. Saya keliru dan saya tidak patut keliru kerna terbabit dalam bidang komunikasi. Sekiranya saya keliru maka mungkin ramai lagi yang keliru.
Kadangkala kesilapan bahasa dibiarkan begitu sahaja kerana selalunya orang hanya bercakap mengenai Broken English akan tetapi saya belum pernah mendengar orang bercakap mengenai Broken Malay. Anda tentu faham maksud saya.
Broken Malay berlaku kerapkali apabila orang yang tidak fasih menggunakan ganti nama Kami dan Kita dalam komunikasi harian.
Dahulunya kita selalu tersilap apabila bercakap mengenai Menara Berkembar Petronas atau Petronas Twin Tower. Sebenarnya nama yang tepat ialah Menara Kembar Petronas dan bukannya Menara Berkembar Petronas yang apabila diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris bermakna Petronas Twinning Tower.
Kita selalu menyebut Petronas Twin Towers secara betul dan dalam Bahasa Melayunya Menara Berkembar Petronas dan tiada sesiapa pun yang ingin membetulkannya walaupun silap dan salah.
Minggu lepas saya telah tidak dapat tidak berdebat dengan seorang rakan mengenai Pisang Goreng dan Goreng Pisang.
Beliau berkata bahawa saya silap apabila menyebutnya Pisang Goreng kerana menurutnya saban masa orang menyebut Goreng Pisang. Sebenarnya Pisang Goreng adalah namanya manakala Goreng Pisang adalah perbuatan namun kita sentiasa silap nahu Bahasa Melayu apabila menyebutnya.
Untuk mengutarakan hujah saya dalam perdebatan yang remeh temeh ini, saya unjurkan kepada rakan itu supaya mengantikan perkataan Pisang dengan Mee, dalam konteks Goreng Mee dan Mee Goreng.
Akhirnya beliau tersenyum, mengetahui kesilapannya.
Jadi, apakah yang sebenarnya? Dasar Ekonomi Baru atau Dasar Baru Ekonomi???
Nota: Pentadbiran Putrajaya telah menukar terma Model Ekonomi Baru (MEB) kepada Model Baru Ekonomi (MBE)....