Sunday, February 24, 2008

IDRIS HARUN, CALON PARLIMEN P136

Semalam saya berkesempatan ke Melaka Bandaraya Bersejarah untuk menjenguk sahabat yang akan bertanding pada Pilihanraya Umum ke 12 ini, Datuk Idris Harun, calon Barisan Nasional untuk kerusi Parlimen P136 Tangga Batu yang terletak di pinggir bandaraya ini.

Bersama sahabat lama Tok Brahim berkunjung ke rumah Ahli Parlimen berkenaan di Taman Pokok Mangga, di pinggir bandaraya. Saya tidaklah terkejut besar melihat keadaan Idris di rumah bersama-sama keluarganya. Kebetulan beliau baru pulang untuk berehat sebentar antara program-program dan aktiviti berkempen untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2004.

Idris adalah seorang ahli politik yang sederhana. Rumahnya sederhana, tutur katanya dalam perbincangan adalah sederhana akan tetapi beliau ibarat seekor harimau yang ganas apabila berada di pentas pidato! Bengis, Tegas dan Jelas. Itu adalah karektor Idris apabila diberikan mikrofon. Tidaklah menghairankan apabila beliau dilantik Ketua Penerangan UMNO Negeri Melaka oleh Dato’ Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka.

Idris juga adalah Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu. Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Texas, Amerika Syarikat.

Ahli politik muda ini amat berkarisma apabila di pentas dan ini mengingatkan saya kepada seorang lagi yang berpewatakan yang sama – Datuk Shafie Apdal Ketua UMNO Bahagian Semporna dan penyandang kerusi Parlimen Semporna.

Benarlah sepertimana yang diperkatakan oleh beberapa orang di Melaka bahawa Idris ni berkhidmat untuk parti dan rakyat dan bukan dirinya sendiri. Kenyataan ini terbukti amat jelas apabila kita melihat rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan sederhana dan 2 jenis kenderaan yang beliau miliki – sebuah Naza Ria dan sebuah Honda CRV. Keadaan ini jauh sangat berbeza dengan beberapa ahli politik sepenggal, malahan beberapa setiausaha politik di negara kita yang secara tiba-tiba menjadi kaya raya tanpa sebarang penjelasan yang nyata dan munasabah!

Mereka berkata sekiranya Idris ingin memperkayakan dirinya memang beliau boleh dan mungkin telah beliau lakukan sejak menjadi Yang DiPertua Majlis Perbandaran Alor Gajah pada tahun 2001. Atau semasa menjadi Ahli Parlimen Tangga Batu (2004-2008) kerana kesempatan boleh diambil dengan secara senang apabila kita berada pada kedua-dua kedudukan itu.

Namun, Idris bukan orangnya. Semoga beliau akan terus berkhidmat untuk parti dan rakyat dan bukan dirinya. Kualiti kepimpinan sebegini amat sukar dicari dalam era sekarang di mana jawatan politik dijadikan alat untuk memperkayakan diri sendiri. Anda pun tahu siapa mereka dan di mana mereka berada!

Selamat maju jaya kepada Dato' Idris Harun, calon Barisan Nasional untuk kerusi P136 Parlimen Tangga Batu, semoga beliau berjaya mempertahankannya dengan majoriti undi yang lebih besar.

Saturday, February 23, 2008

DI MANA KAWAN-KAWANKU BERTANDING...

Saya bersyukur kepada ALLAH swbt kerana Dia mengizinkan sebahagian daripada kawan-kawan bertanding pada Pilihanraya Umum ke-12 kali ini, samada sebagai calon Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.


Dan, samada calon Barisan Nasional atau PAS. Saya tiada kawan dalam parti-parti lain. Namun mereka ini tetaplah kawan-kawan biarpun berlainan ideologi politik.


Saya tidak akan bertanding akan tetapi akan tetap mengundi di Parlimen Alor Setar (calonnya Datuk Chor, kawan saya la tu...) dan Dewan Undangan Negeri Bakar Bata di Alor Setar. Insyallah selera saya sejak 2004 belum berubah lagi. Pada tahun 1990 saya mengundi di Parlimen Gombak dan DUN Gombak Setia manakala pada 1986 saya mengundi untuk pertama kalinya di Parlimen Kangar, Perlis. Saya adalah ahli UMNO Bahagian Kuala Kedah.


Di Perlis, kawan lama Shahidan Kassim atau kami panggil dia Bang Dan (Che Dan kepada mereka yang seusia) akan mempertahankan kerusi DUN Tambun Tulang di kawasan parlimen Arau. Dengar cerita sahabat lama Jamil Saad, mantan setiausaha politik Che Dan akan bertanding di DUN Sena dalam parlimen Kangar namun ini belum disahkan selagi MB belum membuat pengumuman.


Di Kedah, Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim yang berpangkat Pak Long kepada kami semua akan mempertahankan kerusi parlimen Pokok Sena yang beliau menangi pada PRU 11. Lawannya kali ini ialah Haji Mahfodz Omar, Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah yang pernah mewakili kerusi parlimen ini antara 1999 sehingga 2004. Tok Rahman menewaskan Mahfodz pada 2004 dan kali ini nampaknya ”battle royale” akan berlaku lagi.
Sekiranya pada 2004 Tok Rahman turun sebagai Ahli Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan, kali ini beliau bertanding sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena. Tok Rahman ni bukannya kecik anak, begitu juga dengan Mahfodz, Ketua Penerangan PAS Pusat. Tok Rahman ialah mantan Ahli EXCO Kanan Kerajaan Negeri Kedah Darulaman di bawah pentadbiran Tan Sri Osman Aroff.
Mahfodz memenangi kerusi parlimen itu pada 1999 setelah menewaskan calon BN Wan Hanafiah Wan Mat Saman, sahabat baik arwah pak saya yang sama-sama mengaji di Sekolah Menengah St.Michael Alor Setar. Seorang lagi sahabat mereka ialah Haji Yusof, bapa Sdra Sufi Yusof setiausaha akhbar mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.


Kebetulan Mahfodz adalah berpangkat abang pupu, berasal dari Kampung Alor Senjaya yang bersebelahan dengan tempat kami di Kampung Batu 5, Anakbukit, Alor Setar. Bagi keluarga kami, ini adalah lebih kurang pertandingan antara adik-beradik sekali lagi.


Kawan-kawan lain yang bertanding di Kedah ialah Datuk Chor CH di Parlimen Alor Setar, Datuk Aziz Sheikh Fadzir di Parlimen Kulim-Bandar Baru dan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim di Parlimen Baling.


Di Melaka, sahabat kami Datuk Idris Haron, 44, akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Tangga Batu yang dimenanginya pada PRU 11 tahun 2004. Pada awalnya terdengar akan ada perubahan kerusi bagi Ketua Penerangan UMNO Negeri Melaka ini namun diberitakan bahawa pertukaran itu tidak berlaku pada saat-saat akhir dan beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) ini akan bertanding di tempat lama.

Di Johor adalah diharapkan agar seorang sahabat lama Datuk Osman Sapian, mantan ADUN Kempas akan memperolehi kepercayaan pucuk pimpinan parti untuk mempertahankan kerusi itu. Sehingga nota ini ditulis Barisan Nasional Johor masih belum menamakan barisan calon-calonnya.



Di Pahang pula sahabat lama Datuk Wan Adnan Wan Mamat, bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota kini akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Lumpur dalam kawasan parlimen Kuantan. Wan Adnan adalah Ketua UMNO Bahagian Kuantan. Seorang lagi sahabat lama Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman, bekas ADUN Lepas tidak disenaraikan kali ini setelah menyandang kerusi itu sejak 1999. Kedua-dua Wan Adnan dan Ahmad Tajuddin adalah bekas setiausaha politik Tan Sri Khalil Yaakob, kini Tun dan Gabenor Melaka.


Bagaimanapun sahabat yang seorang lagi Datuk Shakar Shamsuddin masih berbintang cerah apabila sekali lagi terpilih mempertahankan kerusi DUN Lanchang yang dimenanginya sejak 1999. Ketua Penerangan UMNO Pahang ini mempunyai masa depan yang cerah dalam politik Pahang. Beliau pernah menyandang jawatan Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia seketika dahulu.


Jauh di Sabah, sahabat lama Datuk Shafie Apdal akan mempertahankan kerusi Parlimen Semporna yang beliau sandangi sejak 1995.

Kepada semua sahabat ini, saya ucapkan selamat berjuang dan selamat maju jaya, semoga akan berjaya dalam PRU-12 ini.

Seperti biasa, ingatan saya kepada mereka adalah sama – apabila kita sanggup memegang jawatan ianya bermakna bahawa kita sanggup berkorban dan apabila kita sanggup berkorban ianya bermakna bahawa kita akan sanggup melakukan apa saja untuk memastikan bahawa perjuangan membela Agama, Bangsa dan Tanahaair tidak akan menjadi korban.
Melayu hanya selamat apabila kuat dan hanya kuat apabila bersatu padu.

Friday, February 1, 2008

I'm Back...

I was away for quite sometime. I am back now.

I should be updating this blog frequently as I could.

Cheers!