Friday, May 30, 2008

KINI SEMUA ORANG BOLEH MENJADI AHLI UMNO…

Selamat Datang diucapkan kepada bekas orang kanan seorang pemimpin Umno yang telah menyerahkan borang keahlian Umno kelmarin. Dahulunya beliau adalah antara arkitek yang ditugaskan untuk menjahanamkan Umno. Kini beliau hendak memakai baju Umno.

Walaupun saya tidak ingin menyebut namanya di sini namun saya yakin dan percaya bahawa para pembaca sekian maklum siapa yang saya maksudkan di sini.

"Selamat kembali kepada Umno yang saudara tinggalkan". Umno menadah sebesar-besarnya tangan untuk mengalu-alukan kepulangan "wira" ini. Masakan tidak majlis penyerahan borang permohonan keahlian beliau dihadiri oleh Presiden Umno yang telah menerimanya.

Sudah ada yang merungut bahawa proses itu membelakangkan Majlis Tertinggi kerana apa yang berlaku kelmarin adalah sepatutnya majlis menerima borang permohonan keahlian BUKAN penerimaan keahlian kerana mengikut Perlembagaan Umno seseorang Presiden itu tidak mempunyai kuasa menerima penyertaan ahli sebaliknya yang berkuasa meluluskan sebarang permohonan keahlian ialah di peringkat bahagian Umno yang akan dipanjangkan kepada Ibu Pejabat.

Bagaimanapun, ini adalah sambutan yang luar biasa hangat bagi bekas orang kanan ini kerana hari ini Umno amat perlukan pejuang-pejuang yang boleh memanjangkan hayat politik parti ini yang sudah tenat walaupun baru berusia 20 tahun. Nyata bahawa Umno tiada lagi mereka.

Sekiranya Presiden Umno sendiri telah menerima borang keahliannya, maka kita semua para ahli hendaklah menerima bekas orang kanan ini dengan tangan yang terbuka, hati yang terbuka dan mulut yang terbuka kerana perkara yang pertama yang beliau lakukan ialah menghitung peluangnya bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Disember ini.

Walaupun beliau telah beralus dengan berkata bahawa "memikirkan dahulu" namun niatnya janganlah dikelirukan -- masuk Umno untuk bertanding jawatan penting. Ianya tidak berselindung atau berlapik-lapik lagi.

Mungkin esok beliau akan berkata tidak langsung terfikir untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Umno di sebuah bahagian di Selangor yang pernah disandanginya sebelum meninggalkan Umno kerana mengikut ketuanya.

Justeru kita semua hendaklah tidak keliru kerana niat beliau menyertai Umno amatlah jelas dan ikhlas untuk bersama-sama berjuang untuk Agama, Bangsa dan Tanahair dan BUKAN mencari kedudukan untuk kepentingan peribadi. Beliau amatlah ikhlas dan jujur dalam perjuangan.

Sebaliknya kita orang Umno ini hendaklah mengalu-alukan kedatangan bekas orang kanan ini kerana hari ini Umno sudah ketandusan pemimpin sehinggakan parti perlu out-source pemimpin untuk mengerakkan agenda politik yang selalu disebut sebagai perjuangan membela Agama, Bangsa dan Tanahair.

Umno sudah tidak punyai pemimpin barisan pelapis yang boleh diharapkan sehingga terpaksa memujuk seorang yang pernah menghina, mencerca dan menista Umno secukup-cukupnya, walaupun antara perbuatannya masih segar dalam ingatan kita. Sungguhpun begitu ramai di barisan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri namun mereka dipandang enteng, tidak penting dan tidak boleh buat kerja dan dikatakan hanya pandai dan tahu mencari projek untuk mengemukkan akaun bank masing-masing. Itu hanyalah tanggapan semata-mata.

Saya tidak begitu percaya akan dakwaan-dakwaan pihak tertentu bahawa Ahli-Ahli Exco Pemuda dan Puteri begitu materialistik dan hanya mengejar projek dan harta kerana TIDAK ada antara mereka yang memandu kereta mewah. Mereka dikatakan hanya mampu Proton atau kereta Jepun, justeru mencari projek untuk disalurkan kepada bahagian-bahagian yang mereka wakili, gunanya untuk membela rakyat susah yang dhaif lagi miskin.

Umno sudah kekontangan pejuang sehinggakan terpaksa mengimpot reject product daripada parti pembangkang untuk meneruskan agenda politik yang ada hari ini. Sedih sungguh nampaknya Umno hari ini dan kita turut bersimpati.

Jelas bahawa Umno sudah nazak sehinggakan terpaksa mengambil pilihan dengan membawa masuk seorang bekas orang kanan ini yang pernah meludah dan mengkahaqkan Umno sebelum ini.

Saya amat tidak setuju dengan rakan blogger saya, Pak Tuan Syed Imran yang menulis, lebih kurang begini "Ezam masuk Umno, so what?" Nyata bahawa Pak Tuan yang sangat saya hormati ini seakan-akan telah mempersendakan penyertaan wira ini. Betulkah wira?

Kita tidak boleh begitu kerana mengikut amalan Umno hari ini apa sahaja yang dilakukan oleh Presiden amatlah ikhlas dan jujur untuk perjuangan parti dan tidak ada agenda peribadi. Pendek kata, baik bagi Presiden, maka baiklah bagi kita, betulkah begitu? Dan sekiranya Presiden kita mengalu-alukan kemasukan orang ini sebegitu rupa, kita pula hendaklah menatang beliau semanja-manjanya kerana mungkin inilah tonik ajaib yang dicari selama ini untuk menyelamatkan Umno.

Saya pula begitu ghairah dengan berita ini dan amat alu-alukan wira berkenaan, dengan berkata Kini Semua Orang Boleh Jadi Ahli Umno!! Tiadalah bezanya Umno dengan Air Asia yang berslogan bahawa Kini Semua Orang Boleh Terbang!!

Friday, May 16, 2008

LAMAN WEB PERIBADI MENTERI PENERANGAN?

Saya terjumpa http://notashabery.com/ hari ini. Berbunyi seperti sebuah laman web Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan Malaysia.

Postingnya pada 14 Mei 2008 bertajuk "Perbuatan Pembangkang Tak Bermoral". Laporannya mengenai kenyataan akhbar Ahmad Shabery mengenai umpanan gerombolan parti pembangkang yang sedang mengumpan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk bertukar parti.

Beliau mengutuk tindakan taktik pembangkang yang kelihatan seperti ingin menggunakan "pintu belakang" untuk menumbangkan Barisan Nasional yang gagal mereka lakukan pada Pilihanraya Umum Ke-12 yang lepas.

Kalau mengikut tajuknya, ia kelihatan seperti laman web Ahmad Shabery akan tetapi gaya penulisan itu membayangkan bahawa ianya sebuah laman yang membuat laporan mengenai beliau dan ditulis oleh orang lain.

Sekiranya ia laman web peribadi Ahmad Shabery maka beliau merupakan Ahli Jemaah Menteri 2008 yang pertama mempunyai laman web peribadi. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Muhammad Muhd Taib merupakan menteri yang pertama yang mempunyai blog manakala laman web Shahrir Samad telah lama beliau kendalikan sebelum menyertai Jemaah Menteri.

Tahniah dan Syabas diucapkan kepada Ahmad Shabery. Mengenali beliau, perkembangan ini tidaklah memeranjatkan kerana beliau begitu IT-savvy, mengadakan masa untuk membaca laman web dan blog setiap hari menerusi MacBook beliau berwarna putih yang nipis dan molek.

Kita kini mempunyai seorang Menteri Penerangan yang benar-benar tahu apa yang beliau perkatakan apabila membicarakan mengenai laman web, blog dan weblog.

Justeru, tidak mungkin beliau bercakap kosong apabila ditanya mengenai kedua-dua perkara ini dan kita tidak akan lagi mendengar perkataan-perkataan seperti "goblok" atau apa-apa lagi selepas ini. Dan ini juga bermakna bahawa jurumudi laman web (web master) dan blogger tidak lagi akan diperlekehkan.

Sunday, May 11, 2008

UMNO BERUMUR 20 TAHUN HARI INI…





Hari ini Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO (United Malays National Organization) berumur 20 tahun. Ini bermakna ia menyambut ulangtahun ke 20 hari ini.

Umno yang ada hari ini ditubuhkan (dan berdaftar) pada tahun 1988 dengan alamat asal setiausaha penajanya, Mohamed Rahmat di No 8 Jalan Setiajasa, Damansara Heights, Kuala Lumpur. Pendaftaran itu adalah berdasarkan kepada arahan pertama jawatankuasa penajanya yang juga mengadakan mesyuarat pertamanya di kediaman Menteri Penerangan itu.

Umno asal yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 telah dibatalkan pendafatarannya oleh Mahkamah Tinggi Malaya menerusi keputusan Hakim Harun Hashim pada 14 Februari 1988.

Ahli berdaftar Umno yang pertama, yang ketika itu disebut sebagai Umno (baru) ialah Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Penaja) yang bernombor keahlian 0000001 dan ahli keduanya ialah Ghafar Baba (Timbalan Pengerusi Penaja) yang bernombor keahlian 0000002 manakala Mohamed (Setiausaha Penaja) bernombor keahlian 0000003. Ahli keempat Umno atau bernombor keahlian 0000004 ialah Husein Ahmad, Ketua Penerangan Penaja Umno (Baru).

Umno (Baru) hanya pulih daripada segi semangat, falsafah dan memperolehi hartanya pada 1998, iaitu 10 tahun selepas ditubuhkan dan setelah memuaskan hati Mahkamah Tinggi Malaya bahawa Umno (Baru) adalah sama merupakan kesinambungan kepada Umno daripada segala segi iaitu perjuangan, perlembagaan, keahlian dan pelbagai perkara lagi untuk mengusulkan satu keperluan yang paling mustahak dan mendadak -- memperolehi semula hartanya yang ditadbir sementara oleh Pemegang Amanah. Antara hartanya ialah Menara Dato' Onn di Jalan Tun Ismail yang juga merupakan Ibu Pejabat Umno.

Setelah memuaskan hati dan setiap keperluan Mahkamah Tinggi Malaya maka Umno Baru dibenarkan mewarisi segala harta dan milikan Umno yang dibatalkan pendaftarannya sebelum itu. Hanya beberapa bulan selepas keputusan itu sahaja barulah Umno dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya menerusi suatu usul untuk mengugurkan perkataan “Baru“ daripada nama pendatarannya.

Justeru, munculah Umno yang pada hari ini berusia 20 tahun. Selamat Maju Jaya dan Teruskan Perjuangan Untuk Agama, Bangsa dan Tanahair.

Saya adalah juga Warga Umno yang bernombor keahlian 2822585 serta berdaftar sebagai Ahli Biasa di Cawangan Umno Pekan Anak Bukit, Bahagian Umno Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah.

Saturday, May 3, 2008

SARKAS DI PARLIMEN TIDAK AKAN LAMA...

Ada sahabat bertanya samada saya terkejut dengan pertunjukkan sarkas di Dewan Rakyat baru-baru ini lantaran siaran langsung di RTM? Saya katakan kepadanya bahawa tiada apa yang baru kerana telah berlanjutan untuk sekian lama.

Bezanya hanyalah senarai badut yang beraksi -- sarkas tetap sama, dulu dan sekarang. Kata Mat Salleh “…the clowns changed but its circus nevertheless.”

Ketika membuat liputan pemberitaan Dewan Rakyat untuk Bernama pada awal 1990an, sarkas di Parlimen adalah sesuatu lumrah. Hanya ketegasan Speaker Tan Sri Muhammad Zahir Ismail sahaja yang mampu mencairkan aksi watak-watak utama ketika itu, antaranya Hu Sepang, Ahli Parlimen Rasah yang selalunya menjadi mangsa salah identiti oleh semua pihak sebagai YB Sepang.

Di sebelah blok Barisan Nasional, para antagonis adalah Zubir Embong Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Abdul Rahman Bakar Ahli Parlimen Maran. Sekali sekali kedengaran juga Dr Abdul Hadi Derani Ahli Parlimen Kota Setar.

Dikatakan sarkas kerana semasa di dalam dewan mereka akan kelihatan bertekak bermati-matian sehingga sekiranya dihulurkan kapak atau parang maka mereka mungkin tidak akan berfikir dua hali untuk menghunus lantas menggunakannya. Namun, setelah ke luar dewan dan ketika di kantin yang berhampiran dengan Bilik Pemberita, mereka boleh pula duduk semeja sambil minum teh dan bergelak ketawa. Inilah sarkas di peringkat tinggi dan badutnya berpakaian kemas dan bergelar Yang Berhormat.

Bezanya kali ini sarkas disiarkan secara langsung dan boleh diikuti oleh ribuan khalayak sasaran. Justeru, rakyat yang telah mengundi Ahli-Ahli Parlimen yang kini beraksi sebagai badut sarkas akan dapat melihat sendiri akan perilaku pilihan mereka.

Seperti kata Mat Salleh, "there’s a flip side of the coin”. Ia bermakna sekalipun dikatakan memberi ruang publisiti kepada Ahli-Ahli Parlimen bukan Barisan Nasional untuk menikmati “their 2-second of fame” yang tidak pernah mereka rasakan sebelum ini, namun siaran langsung itu juga membawa aspek negatif kepada mereka kerana tingkah laku mereka yang selama ini “controlled” telah secara tiba-tiba terjelma kepada yang sebenar, mungkin secara sedar atau tidak sedar.
Dan ia disaksikan oleh rakyat, di dalam dan di luar dewan. Malahan di luar negara.

Sekiranya mereka sedar ini bermakna mereka sengaja melumur najis di muka sendiri dan sekiranya mereka tidak sedar maka ini adalah hakikat sebenar diri Ahli-Ahli Parlimen yang mungkin tidak pernah dilihat oleh para pengundi. Para badut ini mungkin bersopan santun di hadapan para pengundi (maklumlah untuk mendapat sokongan) dan apabila berada di kalangan mereka, maka akan munculnya gelagat, kelakuan dan tabiat sebenar yang tidak mudah lekang daripada diri mereka.

Syabas kepada Kabinet dan Menteri Penerangan Ahmad Shabery Cheek yang membuat keputusan untuk meneruskan siaran langsung ini kerana setidak-tidaknya para pengundi akan dapat berfikir semula dengan serius samada mereka telah membuat keputusan yang betul setelah terpengaruh kepada pujukan-pujukan dan rayuan-rayuan para badut ini dan telah mengundi mereka semasa Pilihanraya Umum Ke-12 baru baru ini.

Para pengundi di Kedah mungkin akan bertanya “Betoi ka had aku pilih ni buat khreja ke atau dok buat reba?”. Di sini Pak Long, Pak Ngah, Pak Lang atau Pak Chaq akan menyifatkan mereka ini dok buat kelaku loqlaq, rumbu dan buang umoq. Di Tanjung pula ada adjetif seperti "sirghu" atau "parpu" untuk sifat para badut ini.

Saya yakin dan percaya bahawa akan sampai masanya nanti apabila para Ahli Parlimen daripada parti bukan Barisan Nasional meminta supaya siaran langsung ini dihentikan kerana mereka mungkin telah sedar akan kesan-kesan negatif yang diperolehi. Ianya lebih banyak negatif daripada yang positif.

Sekiranya mereka telah mula sedar dan tidak lagi beraksi laksana badut maka mereka sendiri akan rimas kerana sentiasa berada dalam fokus kamera yang membataskan perilaku mereka yang sebenarnya. Pendek kata, apabila kamera dihalakan kepada mereka, maka para Ahli Parlimen ini akan merasa terkongkong kerana tidak lagi bebas beraksikan diri mereka yang sebenar.

Apakah bisa badut-badut ini bersopan santun?

Garisan bawah dan akhirnya mereka sendiri akan meminta supaya siaran ini dihentikan, atau setidak-tidaknya dibuat rakaman yang bermakna disunting agar hanya yang elok dan molek sahaja menjadi tontotan rakyat. Ini tidak akan berlaku kerana para badut daripada parti bukan Barisan Nasional ini dikatakan percaya kepada kebebasan media untuk melaporkan kesemuanya tanpa tapisan.

Justeru, sebagai menambah kepada persoalan sahabat saya di atas, saya berpendapat bahawa sarkas ini tidak akan lama lantaran para badut akan keletihan dengan sendirinya.

Yang lawaknya ialah apabila publisiti yang mereka cari, sarkas pula yang diperolehi.