Semalam saya berkesempatan ke Melaka Bandaraya Bersejarah untuk menjenguk sahabat yang akan bertanding pada Pilihanraya Umum ke 12 ini, Datuk Idris Harun, calon Barisan Nasional untuk kerusi Parlimen P136 Tangga Batu yang terletak di pinggir bandaraya ini.
Bersama sahabat lama Tok Brahim berkunjung ke rumah Ahli Parlimen berkenaan di Taman Pokok Mangga, di pinggir bandaraya. Saya tidaklah terkejut besar melihat keadaan Idris di rumah bersama-sama keluarganya. Kebetulan beliau baru pulang untuk berehat sebentar antara program-program dan aktiviti berkempen untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2004.
Idris adalah seorang ahli politik yang sederhana. Rumahnya sederhana, tutur katanya dalam perbincangan adalah sederhana akan tetapi beliau ibarat seekor harimau yang ganas apabila berada di pentas pidato! Bengis, Tegas dan Jelas. Itu adalah karektor Idris apabila diberikan mikrofon. Tidaklah menghairankan apabila beliau dilantik Ketua Penerangan UMNO Negeri Melaka oleh Dato’ Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka.
Idris juga adalah Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu. Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Texas, Amerika Syarikat.
Idris juga adalah Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu. Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Texas, Amerika Syarikat.
Ahli politik muda ini amat berkarisma apabila di pentas dan ini mengingatkan saya kepada seorang lagi yang berpewatakan yang sama – Datuk Shafie Apdal Ketua UMNO Bahagian Semporna dan penyandang kerusi Parlimen Semporna.
Benarlah sepertimana yang diperkatakan oleh beberapa orang di Melaka bahawa Idris ni berkhidmat untuk parti dan rakyat dan bukan dirinya sendiri. Kenyataan ini terbukti amat jelas apabila kita melihat rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan sederhana dan 2 jenis kenderaan yang beliau miliki – sebuah Naza Ria dan sebuah Honda CRV. Keadaan ini jauh sangat berbeza dengan beberapa ahli politik sepenggal, malahan beberapa setiausaha politik di negara kita yang secara tiba-tiba menjadi kaya raya tanpa sebarang penjelasan yang nyata dan munasabah!
Mereka berkata sekiranya Idris ingin memperkayakan dirinya memang beliau boleh dan mungkin telah beliau lakukan sejak menjadi Yang DiPertua Majlis Perbandaran Alor Gajah pada tahun 2001. Atau semasa menjadi Ahli Parlimen Tangga Batu (2004-2008) kerana kesempatan boleh diambil dengan secara senang apabila kita berada pada kedua-dua kedudukan itu.
Namun, Idris bukan orangnya. Semoga beliau akan terus berkhidmat untuk parti dan rakyat dan bukan dirinya. Kualiti kepimpinan sebegini amat sukar dicari dalam era sekarang di mana jawatan politik dijadikan alat untuk memperkayakan diri sendiri. Anda pun tahu siapa mereka dan di mana mereka berada!
Selamat maju jaya kepada Dato' Idris Harun, calon Barisan Nasional untuk kerusi P136 Parlimen Tangga Batu, semoga beliau berjaya mempertahankannya dengan majoriti undi yang lebih besar.